Hentian Alor Gajah Sental, tempat bermulanya
pengembaraan ku ke Thailand & Myanmar
26 Dis 2011 - Bermula dari No 232, Jalan Indah 7, Taman Pengkalan Indah, saya ke Alor Gajah Sentral, Melaka. Jam 1100 malam saya menuju ke Butterworth dengan menaiki Bas MARA Express dan tiba di Butterworth jam 0400 pagi. Dari Butterworth menaiki van pelancong menuju ke Hatyai. Van yang dinaiki berhenti di hentian pintu masuk Bukit Kayu Hitam bagi berhenti rehat dan membuat urusan tukaran wang dari ringgit Malaysia ke mata wang Thailand (Bath). Sempadan Malaysia- Thailand adalah sempadan antarabangsa yang memisahkan Malaysia dan Thailand. Sempadan ini dibentuk pada 1909. Hatyai merupakan sebuah bandar raya di selatan negara Thai berhampiran dengan sempadan ke Malaysia. mempunyai jumlah penduduk seramai hampir 200 ribu orang merupakan bandaraya terbesar di Wilayah Songkla. Tiba di Hatyai Jam 11.30 pagi waktu Thailand. Berehat dan berjalan-jalan di sekitar bandar sambil makan tengahari. Masalah bahasa merupakan masalah utama disini kerana hampir kesemua rakyat Thailand berbahasa Thai kecuali sebilangan orang Melayu yang berbahasa Pattani loghat Kelantan. Hampir semua iklan, papan tanda dan sebagainya dipenuhi dengan tulisan Thailand. Saya tidak memanjangkan perjalanan yang agak luas di sini kerana cuaca yang agak panas pada tengahari itu. Bandar Hatyai yang terletak di pintu masuk ke wilayah dan daerah lain di Selatan Thailand memang besar dan sibuk dengan orang ramai yang membuat pelbagai urusan. Ramai orang kata Hatyai adalah syurga bagai lelaki yang mencari keseronokan disini. Entahlah, dalam perancangan pengembaraan saya, saya tidak merancang ke arah itu. Jujur saya katakan saya tidak menemui walau satu pun rumah urut atau pusat pelacuran semasa saya melewati satu persatu wilayah-wilayah di selatan Thailand atau mungkin Allah telah menutup mata saya dari pandangan itu. Urusan jual beli dan barang-barang di sini agak murah.
Bandar Hatyai, Pintu masuk ke wilayah
selatan Thailand
Jam 2 petang bergerak ke Songkhla dengan menaiki bas awam. Harga tiket 20 Bath dengan jarak perjalanan lebih kurang 40 km. Bandar Songkhla dahulu di sebut Singgora adalah sebuah bandar di selatan Thailand. Ia juga dikenali sebagai "Kota Singa" khususnya di kalangan negara-negara barat sebelum perang dunia kedua. Songkla terletak di muara tasik Songkla yang menghubungkan tasik itu dengan Teluk Siam. Bandar Songkla adalah pelabuhan dan pusat perikanan yang penting di Thailand . Di Songkla bermalam di Guest House dengan harga 200 Bath (rm20). Oklah ada bilik mandi dan tandas serta sebuah TV. Sebelah malam berjalan-jalan sambil mencari makanan islam. Suasana malam di bandar Songkhla biasa-biasa saja sama seperti bandar kecil di Malaysia. Aktiviti malam bagi penduduknya lebih kepada keluar makan-makan dan membeli belah barang-barang keperluan harian. Kedai dan restoran makanan islam agak kurang berbanding makanan siam di sepanjang jalan yang saya lalui.
Bandar Songkla (Singgora)
27 Dis 2011 - Jam 0800 pagi check out dari tempat penginapan dan menaiki bas menuju ke Hatyai. Bersarapan pagi di kedai makan Wan Awee yang menyajikan masakan Melayu Pattani. Senang saja nak cari kedai makan Wan Awee. Ia terletak berhadapan hentian bas Hatyai. Wan Awee juga mudah memberi bantuan untuk mendapatkan hotel penginapan dan penunjuk jalan disekitar Hatyai. Selepas bersarapan, Wan Awee membantu saya mendapatkan mini bas untuk ke bandar Nakhon Sithamarat yang terletak lebih kurang 150 km dari Hatyai. Nakhon Si Thammarat atau nama ringkasnya Nakhon (bahasa Thai) ialah sebuah Wilayah (changwat) yang terletak di selatan Thailand di pantai timur Teluk Thailand. Merupakan bandar kedua terbesar di selatan Thailand. Agak sukar menemui orang-orang dan kedai makan islam di sini. Pakaian seperti seluar jeans pelbagai jenama, tshirt serta kasut banyak terdapat di bandar ini. Ia tak ubah seperti bandar jeans kerana kebanyakan kedai menawarkan barangan yang sama dan berlumba-lumba memperomosi barangan tersebut dengan iklan yang menarik. Pada pengamatan saya barangan jeans ini bermutu tinggi walaupun berstatus local. Saya tidak membeli walau sehelai pun samada baju atau seluar dan sampai hari ini saya merasa menyesal pulak. Maklumlah pakaian jeans ini memang tidak boleh lekang dari tubuh saya. Kalau wang lebih saya sanggup membeli lebih sehelai jeans kalau tidak pun saya akan membeli di kedai bundle. Tidak bermalam disini. Selepas meronda-ronda hampir 2 jam, bergerak ke bas stesyen untuk menuju ke wilayah Shurat Thani.
Bandar Shurathani
Shurat Thani merupakan wilayah yang terbesar di selatan terletak 680 kilometer dari Bangkok. Ia juga dikenali dengan " Kota Rakyat Baik". Bersempadan dengan Teluk Thailand ke utara dan timur. Surat Thani adalah sebuah bandar yang mempunyai sejarah yang panjang. Arkeolog percaya bahawa ia pernah dikuasai puak komuniti pra sejarah peribumi termasuk Melayu Saemang dan asal yang membina komuniti mereka di Tapee Lembangan Sungai dan Ao Ban Don, Kemudian orang India pula berhijrah ke kawasan tersebut.Sampai ke Shurat Thani terus mendapatkan bilik penginapan kerana hari sudah hampir menjelang senja. Selepas berehat seketika di bilek penginapan, saya keluar merayap di jalan utama yang dipenuhi orang ramai. Tiada kedai makan islam di temui berdekatan tempat penginapan pada malam itu dan sebagai mengalas perut yang lapar, saya memakan makanan ringan sahaja sambil berihat-rihat dibilek penginapan sambil menonton Tv.
28 Dis 2011 – Jam 0800 pagi check out dari tempat penginapan berdekatan dengan bas stesyen. Terjumpa dengan sebuah kedai makan islam dicelah-celah deretan pasar yang menjual pelbagai barang harian. Peniaga kedai makan tersebut boleh bertutur bahasa melayu loghat Pattani. Apa lagi perut yang lapar terus diisi dengan nasi berlaukan ikan masak singgang dan sayur peria goreng. Menurut peniaga makanan tersebut yang memperkenalkan dirinya sebagai Shaifah, orang islam tidak banyak di sini dan mereka menetap dikampong-kampong berdekatan dengan bandar Surat Thani. Setelah
Persimpangan ke bandar Ranong
membayar harga makanan dalam jumlah 40 bath, Saya bergerak ke stesyen bas mini untuk bergerak ke Bandar Ranong (Rundung) yang jauh perjalanan lebih kurang 90 km. Tak susah mendapatkan kenderaan sepanjang perjalanan saya di selatan Thailand ini. Cakap saja nak kemana, pasti ada bas mini ke lokasi tersebut. Perjalanannya menepati waktu serta harga atau tambang amat berpatutan. Pada pandangan saya masyarakat Thailand jujur dan tidak mengambil kesempatan pada orang-orang asing yang berada di bumi mereka. Ramah dan bersedia membantu tanpa meminta upah. Perjalanan ke Ranong pada peringkat awal agak lancar dengan melalui lebuhraya yang lebar dan lurus tetapi setelah 40 km perjalanan, kenderaan melencong ke arah barat dan mula melalui jalan-jalan berliku dan berbukit- Menarik pemandangan disepanjang perjalanan ke Ranong ini. Lagu-lagi Thailand sentiasa berkumandang di dalam bas mini yang saya naiki sepanjang perjalanan ini. Jam 2.30 petang, Bas mini yang membawa saya dan lain-lain penumpang berhenti di persimpangan bandar Ranong.
Sebuah pasar di bandar Ranong
Untuk ke bandar Ranong saya menaiki kenderaan Tut tut. Jika pada hari ini ditanya kepada pelajar dan sehinggalah kepada rakyat keseluruhannya, kawasan manakah yang dikatakan sebagai semenanjung Tanah Melayu, pasti jawapannya adalah sebelas buah negeri di Semenanjung Malaysia kini. Tetapi yang sebenarnya sempadan semenanjung tanah Melayu sebenarnya jauh lebih luas, ia itu meliputi daripada pulau Singapura di bahagian Selatan hinggalah ke utara di segenting Kra yang di bawah wilayah negara Thai dan Myanmar pada masa kini.Pada masa dulu semenanjung Tanah Melayu tutur meliputi wilayah Segenting Kra. Selepas kejatuhan Kerajaan Siam yang berpusat di Ayuthia pada tahun 1767 akibat serangan Burma, telah bangkit satu kuasa Thai iaitu Kerajaan Thonburi di bawah pemerintahan Raja Thaksin. Raja Thaksin telah menyerang kerajaan Melayu di negeri Ligor, cahaya, Rundung, Terang Ghairibi, bukit Bedalung dan Singgora.. Anglo Siamese Treaty, 1909 yang dibuat antara British dengan pihak Thailand telah memisahkan sama sekali semenanjung Tanah Melayu kepada dua bahagian. Perjanjian ini di buat tanpa melibatkan perbincangan dengan raja-raja Melayu dan akhirnya wilayah-wilayah di atas tadi menjadi milik Thailand. Banyak pelancong asing di sini terutama dari negara-negara barat. Saya meronda di sekitar bandar Ranong dengan tujuan mencari tempat berihat dan kedai makan. Banyak orang-orang islam di sini. Ini dapat dipastikan dengan orang perempuan yang bertudung tetapi untuk mendapatkan kedai makan islam disini agak sukar. Saya sempat berkunjung ke sebuah pasar yang agak sibuk. gerai jualan daging khinzir dan lembu bersebelahan dan tiada sekatan" Aduhhh" keluh hati saya. Mungkinkah di Malaysia juga satu hari nanti akan begini juga jika hak sama rata terlalu dituntut dan ia disokong pula oleh orang islam itu sendiri. Hari sudah semakin petang dan saya mendapatkan sebuah bilik di Guest House untuk merehatkan diri dan bermalam. Malam itu aku makan makanan ringan dan air mineral untuk mengalas perut yang kosong. Ronda-ronda di sekitar bandar Ranong menikmati suasana malam sebelum berihat.
Pelabuhan Ranong dan pintu masuk ke Pulau Dua (Myanmar)
29 Dis 2011. Jam 8.00 pagi check out dari tempat penginapan. Menaiki kenderaan tut-tut ke imigeresen untuk memasuki Myanmar. Kepulauan Mergui (juga Kepulauan Myeik Kyunzu) adalah sebuah kepulauan terdiri dari 800 buah pulau, berlainan saiz dari yang sangat kecil ke beratus-ratus kilometer persegi dan semuanya terletak di Laut Andaman di pesisir barat Semenanjung Melayu berhampiran hujung arahnya kehujung arahnya di mana ianya memasuki baki indocina. Orang Myanmar pernah mengelar kumpulan etnik seluruh semenanjung Melayu sebagai Pashu Kyun Swee atau semenanjung Pashu. Orang Melayu Myanmar adalah keturunan kumpulan etnik bangsa Austronesia. Sangkaanku untuk memasuki selatan Myanmar dengan mengunakan jalan darat jauh meleset. Untuk memasuki Myanmar, aku terpaksa menaiki bot kayu menyeberangi laut selama 35 minit. Antara berani dan tidak aku gagahi juga hasrat untuk memasuki Mynmar. Tawakal dalam keadaan begitu, kalau ditakdirkan bot karam kerana pukulan ombak atau ditembak oleh tentera Myanmar semasa merentasi sempadan, mati kataklah aku. Dengan muatan seramai 8 orang dan muatan barang-barang yang dibawa, bot kayu yang agak uzur merentasi laut dengan dipandu oleh tekong yang berpengalaman. Memang mereka berpengalaman kerana itulah kerja mereka bertahun-tahun. Apa pun mereka ini amat menghormati pelancong sepertiku. Mereka membantuku sehingga ke pintu imigeresen. Setiap pertanyaan dari pegawai imigeresen, merekalah yang lebih berkomunikasi.
Sempadan Thailand
Selesai mengecop passport, aku bergerak ke pekan yang diberi nama Kawthung. Aduh amat mundur sekali pekan ini. Ia seperti pekan koboi tetapi amat sibuk dengan urusan harian masyarakat di situ. Teksi motor menjadi kenderaan pengangkutan utama di sini. Aku disapa oleh seorang pemuda dalam bahasa Melayu agak pelat dan bahasa Inggeris yang lancar. Setelah memperkenalkan dirinya sebagai Sadam dan beragama
islam, dia menawarkan khidmat untuk menjadi pemandu ku semasa aku
berada di Kawthung. Pengembaraanku di selatan Myanmar bermula bersama Sadam. Tempat utama yang ku tuju bersama Sadam ialah kedai makan islam. Adalah sebiji dua kedai makan yang diusahakan oleh orang islam. Alahai, semuanya berasaskan kari. Tak ada selera makan tapi kena paksa juga. Majoriti penduduk kawthung terdiri dari etnik Thai yang beragama islam dan buddha, Bamar dan etnik-etnik minoriti yang lain seperti Shan, Karen dan Mon. orang Salone (moken), Gipsi Laut dan Melayu. Cina Burma dan India Burma yang berpindah ke Kawthung semasa era penjajahan untuk melombong bijih timah dan industri lain juga mendiami Kawthung. Jumlah penduduk Kawthung 100.000 jiwa dan ramai dari mereka antaranya orang Melayu yang berhijrah ke negeri-negeri utara Malaysia bagi mencari kehidupan yang lebih baik.
Mengharungi badai lautan sebelum sampai ke Pulau Dua, Myanmar
Orang islam di Kawthung kebanyakan dari suku kaum Melayu (Pashu) yang ketinggalan dari berbagai sudut kehidupan. Orang-orang Burma jati pun begitu juga, hidup dalam keadaan ala kadar saja. Pekerjaan utama disini ialah nelayan. Tiada sebuah pun kereta atau lori yang ku temui di pekan ini. Motorsikal merupakan kenderaan utama. Setelah puas meronda melihat suasa sekitar pekan itu bersama sadam, aku menyewa sebuah hotel dengan bayaran 600 Bath untuk berihat. Ada aircon rosak, ada tv rosak. Kipas silinglah yang membantu mengurangkan hawa panas dan bau kurang enak di bilik hotel itu. Pada sebelah petang Sadam membawaku ke rumahnya untuk memperkenalkan aku dengan keluarganya. Amat sederhana sekali kehidupan keluarga Sadam. Mempunyai sebuah rumah kayu berlantaikan simen berkeluasan lebih kurang 15 kaki ke 18 kaki persegi , di situlah keluarga Sadam membina kehidupan. Keadaan ini dapat juga dilihat pada jiran-jiran Sadam di perkampungan Melayu yang agak padat itu. Tiada identiti Melayu yang dapat dilihat di sini. Rumah, adat dan kebudayaan Melayu di kawasan ini seakan tiada. Wajah-wajah etnik Melayu seakan kacukan India dan Bangladesh. Walaupun Kawthung ini asalnya dikuasai oleh kerajaan dan kesultanan Melayu tetapi keujudan tamadun Melayu itu seakan pupus. Rumah-rumah ibadat budha lebih terserlah berbanding dengan hanya sebuah masjid yang agak uzur dan kusam. Sebelah malam dengan dibantu oleh Sadam, aku meronda lagi dengan mengunjungi kelab malam dan karoke. Inilah tempat menghilangkan strees dan berhibur bagi penduduk di Kawthung.
Sadam dan kakaknya
Oklah terhibur juga dengan lagu-lagu Myanmar dan Inggeris yang dinyanyikan oleh wanita Myanmar yang agak menarik penampilannya. Lagu Casablanca dinyanyikan oleh penyanyi wanitanya seperti tiada cacat cela. Penyanyi yang fasih berbahasa Inggeris harganya agak mahal kalau mahu dijadikan teman tidur, jelas Sadam. Saya hanya senyum saja mendengar penjelasan Sadam. Dengan layanan dan hormat yang begitu tinggi pekerja kelab malam dan karoke terhadap pelancong, rasa takut dan was-was ku disini berkurangan. Jam 12.00 malam aku balek ke hotel penginapan untuk berihat. Sekali lagi keselesaanku terganggu. Nyamuk dan ketiadaan selimut amat menggangu tidur ku sehingga ke pagi.
30 Dis 2011 - Jam 0800 pagi check out dari hotel dan bersarapan diwarung bersama Sadam. Jasa baik Sadam membantuku, ku bayar dengan sebuah handphone terpakai milik ku dan 300 bath. Setelah selesai urusan di imigresen, aku mendapatkan bot untuk bergerak balek ke Ranong. Ombak agak kuat pada pagi itu. Aku banyak berzikir dan berdoa semoga perjalananku selamat sehingga ke Ranong. Setelah urusan memasuki Thailand selesai, aku mendapatkan teksi motor untuk membawaku ke perhentian bas. Aku terus mendapatkan sebuah bas ekspress 2 tingkat untuk ke Hatyai. Perjalanan ke Hatyai memakan masa 10 jam. Tingkat bawah bas tidak disediakan kusyin seperti ditingkat atas. Ia hanya sebuah bangku lebar dan panjang separuh bas. Bangku tersebut dimuatkan hampir 20 orang penumpang termasuk kanak-kanak. Bayangkan selama 10 Jam disini. Amat menyiksakan. Apa boleh buat, ditempat orang ikut ajelah. perjalanan selama 10 jam berakhir di kota Hatyai pada jam 0800 malam. Aku lantas mencari makan terlebih dulu sebelum mendapatkan tempat penginapan. Setelah mengisi perut dengan makanan sup Bakso disebuah warung tepi jalan yang sibuk, aku meronda pula di pasar malam yang sangat besar dan sibuk. Barang-barang pakaian dan akoseri diri terlalu banyak disini. Pengunjung islam dan bukan ku rasa sama banyak disini. Aku sempat membeli 2 pasang seluar jeans jenama Levis sebelum beredar dan mendapatkan bilik hotel untuk menginap pada malam itu. Istirihatku agak selesa pada malam itu dengan bilik sewaan sebanyak 700 bath. Dilengkapi aircond. Peti ais yang dilengkapi minuman dan sedikit buah-buahan.
Terpenjara dalam bas 2 tingkat selama 8 jam dalam perjalanan dari Ranong ke Hatyai
01 Jan 2012 - Check out pada jam 0800 pagi dan bersarapan di restoran Wan Awee dan seterusnya mendapatkan bas awam menuju wilayah Pattani. Sejarah awal Kerajaan Melayu Pattani masih lagi diselimuti kekaburan. Dalam cacatan sejarah tidak dapat dipastikan asal usul atau tarikh sebenar kerajaan Melayu Pattani didirikan. Mengikut catatan pelawat-pelawat cina yang membuat perhubungan dengan negera asia tenggara pada abad kedua masehi sebuah negeri bernama "Lang ya shiu" atau Langkasuka sudah pun ujud ketika itu. Berpandukan catatan tersebut ahli-ahli sejarah Eropah percaya bahawa negeri Langkasuka yang terletak di pantai timur Semenanjung Tanah Melayu antara Singgora dan Kelantan itu adalah lokasi asal negeri Pattani. Pattani adalah sebuah kerajaan yang termaju di Semenanjung Tanah Melayu dan sebuah pelabuhan yang penting sejak kurun ke 8 masehi kerana teluk Langkasuka sangat sesuai dijadikan tempat kapal-kapal dagang berlabuh an berlindung daripada ribut tengkujuh. Paul Wheatly menjelaskan bahaswa kerajaan Langkasuka menguasai jalan perdagangan timur-barat melalui Segenting Kra dan kekuasaannya meliputi kawasan Semenanjung sehingga ke Teluk Benggala. Kerajaan Melayu langkasuka wujud sehingga menjelang abad ketiga belas dan diganti oleh kerajaan Melayu Pattani. Persaolan bagaimana Langkasuka bertukar menjadi Pattani masih belum dapat dipastikan oleh para pengkaji sejarah kerana tidak ada sebarang catatan sejarah yang jelas mengenainya.
Bandar Pattani
Ada pendapat yang mengatakan Pattani telah ditubuhkan sekitar pertengahan abad ke 14 dan 15. Pendapat mereka berasaskan kepada tulisan Tom Pires dan lawatan Laksamana Cheng Ho. Agama islam juga telah membawa angin perubahan yang bermakna kepada Pattani. Seorang pelawat Pertugis telah menulis dalam tahun 1613 bawa islam telah bertapak di Pattani lebih awal dari Melaka. Apa yang mendukacitakan, wilayah yang subur ini menjadi wilayah yang bergolak yang menjadi perebutan antara pemerintah dan pejuang Melayu dan boleh dikatakan setiap hari ada sahaja mangsa yang cedera samada di kalangan orang awam , puak pemisah dan pihak tentera. Hal ini menjadi semakin parah dan terlalu sukar untuk diubati. Kes kecurian senjata api di kem tentera dimana pihak pemerintah menuduh pejuang islam mencurinya membuka ruang kepada tentera memasuki wilayah itu dengan kekuatan yang ada menahan dan membunuh dengan kejam pejuang-pejuang muda yang menuntut sebuah wilayah merdeka atau autonomi dan hak sama rata samada disegi ekonomi, pendidikan dan pelbagai lagi seperti yang dinikmati oleh majoriti buddha Thailand. Perjalanan ke Patanni memakan masa lebih kurang 3 jam. Sebagai wilayah bergolak, sekatan jalanraya oleh pihak tentera merupakan perkara biasa. Risau juga kalau bagasi dicek. Allhamdulilah sehingga sampai ke Bandar Pattani tiada perkara-perkara yang menggangu ku berlaku. Berada di wilayah Pattani seperti kita berada di negeri Kelantan. Terlalu banyak persamaan di antara Kelantan dan Pattani. Dari segi loghat percakapan , budaya dan agama berjalan seiring begitu juga dengan pembangunan ekonomi yang dipacu oleh masyarakat islam Pattani. Bandar Pattani tidak dibangun dengan banggunan tinggi mencakar langit oleh kerajaan pusat tetapi ia membangun dengan sejarah keagungan islam dan pemerintah oleh kesultanan Melayu Petani. Orang –orang Melayu Petani hari ini membangungkan Pattani dengan kekuatan perpaduan ummah dan tidak pula menolak akan dasar-dasar yang dibawa oleh kerajaan pusat dibangkok kecuali sebilangan kecil yang berkehendakkan pemerintah sendiri dan melawan arus. . Apa pun wilayah –wilayah di selatan seperti Pattani, Yala dan Narathiwat berisiko tinggi untuk dikunjungi. Ini adalah disebabkan wilayah bergolak ini sentiasa saja berlaku keganasan seperti letupan bom atau tembakan senjata api dari penyerang yang tidak dikenali.
Bawah bekas istana sultan/raja Pattani
Ketibaan ku ke bandar Pattani di sambut dengan rasa syukur dan kegembiraan . Aku telah dipertemukan dengan saudara seagama yang begitu telus menerima kedatanganku. Dengan saudara Hassan (hp 0066869594539) yang bekerja sebagai pemandu teksi motor, aku dibawa ke serata tempat menarik seperti mengelilingi Bandar Pattani, Masjid Kerisik, Bekas istana lama kesultanan Petani, Perigi Hang Tuah dan perkampungan orang Melayu Pattani. Hassan banyak membantuku. Terlalu tinggi budi yang Hassan berikan kepadaku tanpa mengambil apa-apa upah walaupun aku berniat ikhlas untuk memberi. Waktu tengahari perutku ku isi dengan makanan tomyam yang menyelerakan. Hujan yang berterusan pada sebelah petang membantutkan rancanganku untuk pergi kebeberapa tempat yang dicadangkan oleh Hassan. Memandangkan pergerakan yang terbatas kerana hujan, aku dengan dibantu oleh Hassan mengambil sebuah bilek penginapan ditengah-tengah bandar Pattani. Hassan meneruskan kerjanya sebagai pemandu manakala aku berehat dan tidur di bilik penginapan. Suasana malam di Bandar Pattani tidaklah sesibuk bandar Hatyai. Kedai-kedai makan menghiasi keindahan malam di Pattani. Sekali lagi aku makan nasi berlauk tomyam bersama-sama Hassan. Setelah puas menikmati suasana malam sambil berbual-bual mengenai suasana semasa dunia, aku kembali ke hotel untuk berihat.
Masjid Pattani
02 Jan 2012 – Hassan telah berada di pintu bilik penginapan sementara aku bersiap-siap untuk bersarapan. Setelah selesai bersarapan dan membeli sedikit ole-ole untuk dibawa pulang, aku dalam suasana pilu bersalaman dengan Hassan dan seterusnya menaiki bas untuk bergerak ke Yala. Yala adalah wilayah paling selatan negara tersebut. Wilayah-wilayah yang berdekatan adalah Songkhla, Pattani dan Narathiwat, Yala juga bersempadan dengan negeri Perak, Malaysia dibahagian selatan. Yala juga dipangil Jolor oleh Melayu Pattani yang berada di bawah penggaruh kerajaan Ayuthaya dan kemudian Sukhothai. Yala dan Narathiwat ditadbir secara berasingan dan di Yala terdapat sebuah pergerakan pemisah Pattani yang kembali aktif pada 2004 setelah lama berdiam diri. Wilayah ini pada asalnya merupakan bandar yang giat dalam perlombongan bijih timah dan Tungsten. Sejak awal tahun 2004, beberapa insiden kerusuhan dan kekecohan telah melanda selatan Thailand. Kawasan ini didiami oleh majoriti penduduk Melayu Islam dan aktiviti gerakan pemisah telah aktif sejak tahun 80an. Penduduk disini tidak berasa senang dengan reaksi keras kerajaan pusat terhadap aktiviti gerakan pemisah tersebut. Mereka juga tidak puas hati dengan beberapa polisi kerajaan pusat yang memperakukan mereka dengan cara berbeza dari kaum etnik Thai. Pada 26 Okt 2004, 78 orang telah meninggal dunia akibat kesesakan nafas akibat dimasukkan ke dalam truk polis secara bertindih-tindih kerana di tangkap atas tuduhan melakukan rusuhan dan peristiwa ini dikenali dengan peristiwa Takbai. Saya tidak bermalam di Yala. Masa selama 2 jam saya habiskan untuk bersiar-siar sahaja di kaki lima deretan kedai berhampiran stesyen bas. Bandar Yala lebih kecil dari Pattani. Pembangunan dan ekonominya serupa Pattani dan ia dipacu oleh penduduk setempat. Cuaca yang semakin redup membuatkan saya cepat menaiki bas untuk bergerak ke Narathiwat.
Perempuan Melayu Pulau Dua
Narathiwat merupakan salah satu daripada empat wilayah Thai yang mempunyai majoriti penduduk beragama islam. Hampir 82% penduduknya beragama islam dan selebihnya etnik Thai yang beragama buddha. Narathiwat bererti(" kediaman orang-orang budiman") Orang-orang islam berbangsa Melayu dan bertutur dalam bahasa Melayu loghat Pattani. Sejak awal tahun 2004, beberapa insiden kerusuhan dan kekecohan telah melanda selatan Thailand, terutama sekali di wilayah-wilayah Narathiwat disebabkan dasar-dasar kerajaan pusat yang lebih menekan orang-orang islam dan menidakkan aspirasi, cita-cita, impian dan harapan dan dalam masa yang sama pula memberi kelebihan pelbagai kepada minoriti etnik Thai di selatan negara itu. Saya juga tidak lama di sini. Setelah melihat budaya yang serupa seperti Pattani dan Yala, tambahan pula hujan mula turun saya terus mendapatkan sebuah van pelancung untuk kepekan sungai kolok, di sungai kolok saya terus meronda melihat suasana perniagaan yang pelbagai disitu. Tak ada apa-apa pun yang ku beli dipekan tersebut. Bag sandangku sudah semakin padat semasa di Pattani lagi. Puas meronda dan berjalan hampir dua jam aku mendapatkan sebuah teksi motor untuk ke imigresen sungai Kolok dan seterusnya ke Rantau Panjang, Kelantan. Di Rantau Panjang aku menaiki bas menuju ke Kota Bharu. Jam 0830 malam menaiki bas menuju ke Bandar Alor Gajah dan seterusnya mengakhiri pengembaraanku hampir 8 hari dibumi orang."
Tiada ulasan:
Catat Ulasan