Khamis, 1 Mei 2014

Kembara ke 4 provinsi ke Sumatera

DARI KERINCI KE BUKIT TINGGI, KEMBALI KE KAYU ARO SEJUK SEKALI 04 Mac 2014 jam 0730 malam, saya, Azmi dan keluarga ibu Nursyatimah memenuhi sebuah van Travel menuju ke Kota Sungai Penuh, menghantar saya dan Azmi untuk melanjutkan pengembaraan ke provinsi Padang. Bukit Tinggi adalah tempat tujuan utama kami di provinsi Padang ini. Perancangan awal, saya lebih memfokuskan untuk menuju ke ibu kota Padang, tetapi setelah diberi penerangan oleh Yanti dan kakak-kakaknya bahawa Bukit Tinggi lebih menarik daripada segi landskap pelancongan dan menomen sejarah, maka pengembaraan lebih berpusat ke Bukit Tinggi manakala ibu kota Padang menjadi sampingan semasa perjalanan pulang ke Kerinci nanti. Padat van travel itu dengan anak cucu ibu Nursyatimah termasuk ibu Nursyatimah juga turut menghantar kami berdua. Meriah sungguh pergerakan kami dari Pulau Tengah ke Kota Sungai Penuh pada malam itu. Terima kasih sangat-sangat kepada Pak Iqbal yang banyak bersusah payah dalam memudahkan pergerakan dan urusan kami di bumi Kerinci. Semasa membuat urusan bayaran sewaan van tersebut, Yanti kata, sewaan sudah dibayar, Siapa yang bayar?. Aduhhh!, mereka terlalu bersusah payah untuk saya berdua. 150 ribu rupiah yang saya beri pada Yanti untuk membeli sebotol dua minuman untuk anak-anak buahnya ditolak semahunya oleh keluarga ibu Nursyatimah. Ini mengambarkan bahawa wang bukanlah segala-galanya dalam ikatan kekeluargaan masyarakat kerinci.
                   Jam 0830 malam dengan lambaian mesra dari anak cucu ibu Nursyatimah, van Avanza yang membawa kami berdua bersama 2 orang penumpang meluncur laju menuju lokasi. Hampir 8 ke 9 jam perjalanan ke Bukit Tinggi kata pemandu van tersebut. Lagu-lagu daerah Kerinci menyedapkan halua telinga dalam perjalanan itu. Semakin jauh van meninggalkan kota Sungai Penuh, semakin kurang kepadatan rumah-rumah penduduk dan cahaya neon. Perjalanan malam sama seperti perjalanan dari Jambi ke Kerinci. Tiada apa yang menarik dapat dilihat di kiri kanan jalan kecuali kenderaan yang sering berselisih. Hampir 45 minit perjalanan, kenderaan yang kami naiki berhenti di kumpulan orang yang agak ramai (lebih 20 orang). Saya menjangkakan ada kemalangan yang berlaku, rupanya jangka itu meleset. Orang yang agak ramai itu rupanya menghantar sepasang suami isteri yang saya rasa baru mendirikan rumahtangga agaknya. Banyak barang-barang yang disumbatkan ke dalam kenderaan itu sehingga kedudukan saya di dalam van tidak begitu selesa.
                 Ramainya!, kata hati saya melihat keriuhan sanak saudara, rakan dan taulan bercakap dan berpesan dalam bahasa yang sepatah dua saya faham kepada pasangan muda itu . Saya tersenyum sendirian melihat suasana masyarakat disini. Ia mengingatkan saya pada satu cerita penumpang keretapi dari Kuala Lumpur ke Singapura. Setibanya keretapi di stesyen Tampin bagi menurun dan mengambil penumpang ke selatan, ia melihat satu kumpulan keluarga yang agak ramai, berpelukan, bersalaman juga bertangisan dengan sepasang suami isteri yang menaiki keretapi itu. Banyak juga barang-barang yang dibawa seperti yang di karung dijinjing, dikepit, dijunjung dan sebagainya. Terdapat juga seekor dua ayam dibawa bersama dalam perjalanan itu. Jauh perjalanan pasangan ini agaknya. Kata hati penumpang yang menjadi pencerita tadi. Keretapi perlahan-lahan memutarkan rodanya untuk meneruskan perjalanan. Padat dan ramai penumpang pada hari itu. Maklumlah di awal tahun 1970an hanya keretapi merupakan kenderaan utama yang menjadi keperluan penduduk setempat. Semakin laju roda berputar, semakin kuat tangisan dan esakkan orang yang menghantar dan pasangan itu didengari yang akhirnya ditelan kegelapan malam. Hampir sejam perjalanan, keretapi penumpang tadi sampai ke stesyen Gemas berhenti menurun dan mengambil penumpang. Dalam kesibukan penumpang yang entah dari mana naik dan turunnya di stesyen itu tidak terkecuali juga penumpang pasangan suami isteri yang bertangisan tadi. Banyak barangan yang dibawa turun dari perut keretapi itu hingga bonet (tempat mengisi barang) kereta Peaguot tidak mampu menampungnya. Laaaa dekat aja rupa turunnya. Ingatkan jauh sangatlah sampai beresak bertangis, bisik hati sipencerita tadi. Pada saya message cerita tadi mengambarkan betapa kuat ikatan persaudaraan dan kesukuan dalam masyarakat Kerinci dan Minangkabau (hampir 60 peratus masyarakat melayu di Negeri Sembilan berasal dari Minangkabau).
                Agak berliku-liku laluan tanah tinggi Kerinci menuju ke Bukit tinggi. Jam 11 malam, perladangan teh dan sayur terbesar Kayu Aro dilalui. Kami merancang untuk singgah di ladang ini semasa perjalanan balek dari Bukit Tinggi dan Padang. Akan saya ceritakan pengalaman berada di perladangan ini. Kami berhenti rehat di Kabupaten Solok Selatan, Kecamatan K.P.6.D, Koto Parik Gadang Diateh, Sumatera Barat. Sahabat karib saya Azmi mabuk lagi. Pucat lesi wajahnya. Hampir 45 minit berhenti rehat, perjalanan diteruskan lagi di laluan yang sempit dan berliku. Cahaya api di kiri kanan jalan walaupun tidak padat ada juga kelihatan di sesetengah tempat. Jam 0300 pagi kami bertukar kenderaan di persimpangan jalan menuju ke Padang dan Bukit Tinggi. (maaf saya tidak sempat mencatat nama tempat itu). Dalam perjalanan ke kota Bukit Tinggi, kenderaan yang kami naiki menghantar seorang demi seorang penumpang ke lokasi tujuan mereka.
               Hampir jam 0600 pagi kenderaaan semakin menghampiri Kota Bukit Tinggi. Rumah-rumah dan bangunan yang berbumbungkan bentuk tanduk kerbau semakin banyak kelihatan. Imej Minangkabau memang tidak boleh lari dari tanduk kerbau. Asal usul nama Minangkabau bermula di satu siang di sebuah kawasan di Ranah (tanah) Minang, puluhan warga memadati arena pertandingan. Di tengah lapangan, dua ekor kerbau kakar saling berhadapan . Mereka akan diadu untuk ditetapkan sebagai sang juara.Itulah sepintas lalu kerbau yang menjadi budaya turun-temurun masyarakat Minangkabau, Sumatera Barat. Budaya warisan leluhur yang telah berlangsung ratusan tahun itu sampai kini masih dijaga dengan baik oleh masyarakat Minang. Minangkabau, suku besar di wilayah Sumatera Barat ini kaya akan warisan sejarah dan budaya. Minangkabau diambil dari kata Minang, yang bererti kemenangan dan kabau, yang bererti kerbau. Dengan kata lain Minangkabau bererti "Kerbau yang menang". Penamaan ini berhubung erat dengan sejarah terbentuknya Minangkabau yang diawali kemenangan dalam suatu pertandingan adu kerbau untuk mengakhiri peperangan melawan kerajaan besar dari Pulau Jawa. Suku Minangkabau memang mempunyai keterkaitan yang sangat erat dengan haiwan ternakan berkaki empat itu yang disebut kerbau. Itulah antara lain terlihat pada berbagai identiti budaya Minang, seperti atap rumah tradisional (rumah Bogonjong). Rumah adat yang kerap disebut juga rumah Gadang itu berbentuk tanduk kerbau. Begitu juga pada pakaian wanitanya (Baju Tanduk Kabau). Untuk mendapat maklumat yang lebih lengkap, pembaca boleh mengases maklumat Minangkabau di internet.
               Kami tiba di pusat kota Bukit Tinggi tepat jam 0730 pagi. Perkara utama yang perlu saya dan Azmi selesaikan ialah mencari tempat mandi dan membersihkan badan. Masjid yang kami singgahi ketiadaan air untuk kami gunakan, Bilik air ditengah kota besar itu, Ahhhh tidak selesa dan tidak menyenangkan. Kami terpaksa menyewa bilik mandi hotel untuk tempuh sejam dengan bayaran 100 ribu rupiah. Jam 0900 pagi, kami terlebih dulu mencari tempat minum untuk sarapan pagi. Nasi impet bersayurkan pucuk paku masak lemak (di sini dipanggil lontong pucuk paku) tanpa sambal, telur dan bahan lain, itulah menjadi santapan saya pagi itu. Azmi laju dan berselera nampaknya. Ha,ha seronok saya dengan Azmi ni, Amat menyenangkan hati saya, tak banyak kerenah. Sangat sesuai untuk dibawa mengembara walaupun ada kadangkala mabuk perjalanan. Itu tak menjadi masalah bagi saya. Bukan tidak ada makanan yang bersesuaian dengan selera saya, nasi padang yang begitu sebati dengan masyarakat Minangkabau menjadi menu utama di setiap restoran dan kedai makan yang bertaburan di merata cerok kota Bukit Tinggi. Saja saya ingin mencari kelainan. Senang mencari kedai makan di Bukit Tinggi berbanding di tanah Kerinci. Di Kerinci memang sukar untuk mencari kedai makan atau minum pada waktu siang atau malam kecuali di tempat-tempat yang tertentu. Orang di bumi Kerinci lebih suka balik ke rumah bila berada di luar untuk makan dan minum. Agak kering juga tekak saya ketika berjalan-jalan di Kerinci, susah untuk mencari warung atau kedai minum di Kerinci kecuali di Sungai Penuh, itu pun tidak banyak sebagaimana yang terdapat di Malaysia. Jangan bayanglah nak makan di restoran mamak atau tomyam atau pelbagai makanan seperti di Malaysia, mungkin saya terlepas pandang! tapi memang saya tidak jumpa. Minuman-minuman yang selalu terdapat di Malaysia seperti puluhan jenis jenama Tongkat Ali tidak terdapat diwarung dan kedai makan disini. 10 hari saya tidak merasa nikmatnya Ali Cafee semasa berada di 4 provinsi Indonesia ini. Itulah yang saya katakan serumpun tapi berbeza gaya. Saya tidak berhasrat mengangkat bahawa Malaysia itu terlalu jauh kedepan kalau berbicara pasal menu dan makanan. Mungkin orang akan kata, itu di luar Jakarta, Kalau di Jakarta semua ada. Saya juga boleh kata di Kuala Lumpur dan bandar-bandar besar di Malaysia usah cerita pasal makanan tempatan atau internationalnya, di bandar kecil, pekan atau desa saja, mau mati kalau berbicara tentang makan.
            Selesai menikmat sarapan yang dipesan dan berehat seketika, saya dan Azmi memulakan lawatan di kota Bukit Tinggi dengan terlebih dulu melihat kompleks dan pusat membeli belah yang berselerak di merata pusat kota. Pasar Ateh antara tempat kunjungan kami berdua. Bukan nak membeli pun, saja nak melihat apa yang dijual terutama produk-produk pakaian yang digembar gemburkan oleh pelancong Malaysia yang berkunjung ke Bukit Tinggi. Barang-barang berasaskan pakaian memang murah di sini. Ia menjadi lebih murah jika ia dibeli dengan kuantiti yang banyak. Sehelai baju toko bersulam kalau di Malaysia berharga RM60 ke RM70 ke atas, di sini dapat dibeli dengan harga RM15 hingga RM25 sahaja dengan kualiti kain yang sama dengan dibeli di Malaysia. Saya membeli sehelai dua buat buah tangan sahaja. Barangan kering dan basah, barangan cenderahati, semuanya ada di sini. Ini adalah kerana semua hasil dagangan seperti pertanian, tenunan dan kraftangan dari semua provinsi di Indonesia terutama di Sumatera dibawa ke sini untuk didagangkan. Perniagaan dan perekonomian kota Bukit Tinggi di dominasi oleh masyarakat Minangkabau dan Melayu Sumatera sementara masyarakat minoriti Tionghua menguasai perniagaan perhotelan dan perniagaan bersekala besar. Sebagaimana yang saya katakan di awal penceritaan, pertemuan saya dan Azmi serta keluarga mertuanya mendatangkan satu hikmah yang besar dalam perancangan pengembaraan Nusantara seterusnya. Saya tidak sukar lagi kalau mahu ke Medan, Aceh, Palembang, Belitung malah ke Jakarta. Keluarga ibu Nursyatimah bertebar di sebahagian provinsi di Indonesia. Azmi walaupun pertama kali dikenali, ia amat menyenangkan saya. Bersikap terbuka dan mudah berbincang dan berbicara. Hitam manisnya saya rasa amat bersesuaian dengan jiwa saya. Perancangan membawa basikal ke Bukit Tinggi yang tidak dapat kami lakukan kerana masalah lojistik, mudah di atasi oleh Azmi dengan sikap ramahnya. Untuk bergambar dengan basikal (speda) di Bukit Tinggi sebagai kenang-kenangan, kami dengan mudah mendapat 2 buah speda hasil usaha Azmi. Begitu juga untuk menuju ke mana-mana tempat bersejarah, Azmi lah yang menjadi juru tunjuk dan juru tanya. Setelah puas berlegar di pusat membeli belah, kami menuju ke kebun haiwan (zoo) Kinantan yang terletak di tengah kota. Tidaklah banyak binatang di zoo ini kalau hendak di bandingkan dengan Zoo di Melaka tapi bagi saya muzium rumah Gadang Ba Anjuang lebih memberi tumpuan kepada saya. Sambil melihat senibinanya dengan ukiran yang begitu unik bagi saya, saya sempat berpoto dengan kostum Dato Maringgih Amang di Rajo (maaf jika saya tersalah sebut)dengan sewaan sebanyak RM20 serta beberapa post yang agak menarik yang diambil oleh seorang jurufoto .Bentuk-bentuk rumah gadang yang agak menarik boleh diakses di Jom Bukit Tinggi Blokspot.com. Di Negeri Sembilan seperti di Kuala Pilah, daerah Jelebu dan beberapa daerah yang agak pendalaman sedikit, rumah-rumah gadang yang agak terbiar dan usang masih banyak kelihatan serta budaya dan adat pepatih masih segar diamalkan.
              Dari muzium Rumah Gadang Ba Anjuang, saya bergerak ke Benteng Fort De Kock peninggalan Belanda yang terletak diatas bukit besebelahan dengan kebun haiwan. Agak tinggi juga bukit yang didirikan benteng ini, Berdiri gagah di tengah-tengah kota Bukit Tinggi. Benteng ini didirikan oleh Kapten Bouer pada tahun 1825 pada masa Baron Henndrik Merkus de Kock semasa menjadi komanden DeTroepen dan wakil Gabnor Jeneral Hindia Belanda. Benteng yang terletak di atas bukit Jirek ini digunakan oleh tentera Belanda sebagai benteng pertahanan dari gempuran rakyat Minangkabau terutaama sejak meletusnya perang Paderi pada tahun 1821-1837. Demi mempertahankan bumi Bukit Tinggi dan agama yang tercinta, saya percaya ramai peribumi Minangkabau di sini telah gugur syahid dalam peperangan itu. (Alfatihan buat para syuhada Bukit Tinggi).
               Setelah menikmati kedinginan udara di Benteng fort De Kock dan melihat kesan-kesan sejarahnya, saya dan Azmi bergerak ke Menara Jam Gadang (Menara jam besar) yang merupakan satu lagi mercu tanda kota Bukit Tinggi. Ia juga dibina oleh penjajah Belanda pada tahun 1926. Di sekeliling tapak menara ini dijadikan dataran dengan susunatur landskap yang menarik guna bagi masyarakat bukit Tinggi dan pelancong beristirihat dan berlibur. Barangan cenderahati seperti tshirt yang di cop dengan jam gadang yang dijual oleh penjual jalanan banyak terdapat disini. Sempat juga saya membeli buat kenang-kenangan. Ketika saya tiba di dataran menara ini, banyak pelajar-pelajar dari sekolah di pelbagai provinsi datang melawat tak kurang juga pelancong dari luar. Memandangkan masa yang begitu terbatas buat saya dan Azmi di Bukit Tinggi kerana jam 3 petang kami harus bergerak ke ibu kota Padang membuatkan kami melawat tempat-tempat yang menarik secara pantas sahaja. Keadaan ini membuatkan saya cepat penat dan letih. Kurang fokus ditambah pula kedua-dua kamera yang saya bawa semakin menipis baterinya. Banyak juga patung-patung pejuang seperti Bung Hatta dan monumen sejarah dibangunkan di ibu kota Bukit Tinggi buat tatapan pengunjung. Melihat Bukit Tinggi teringat saya bandaraya Melaka yang padat dengan bangunan-bangunan dan monumen sejarahnya seperti Kota A Famosa, bangunan standhust dan pelbagai lagi di Bandar Hilir yang ditinggalkan oleh penjajah seperti Portugis dan Belanda.
              
                                                 Sipenjual jalanan di kota Bukit Tinggi
Dari Menara Jam Gadang kami bergerak pula ke satu lagi menumen tinggalan penjajah ya itu Lobang Jepang (Jepun, Japan). Lobang Jepang adalah sebuah terowong perlindungan yang di bina oleh tentera Jepun sekitar tahun 1942 untuk kepentingan pertahanan. Terowong ini sebagai tempat menyimpan bekalan makanan dan peralatan perang. Panjang terowong ini mencapai 1400m dan berkelok-kelok serta memiliki kelebaran seluas 2 meter. Beberapa ruang khusus terdapat di dalam terowong ini yang digunakan sebagai tempat mengintai tawanan, penyergapan, penjara dan gudang senjata serta pelbagai lagi keperluan ketenteraan. Kekukuhan tanah dari jenis batu merah yang menjadi dinding terowong ini begitu ampuh dan tidak terjejas oleh gempa bumi pada tahun 2009. Puluhan sampai ratusan ribu buruh paksa dikerah membina terowong ini. Buruh paksa ini didatangkan dari pulau Jawa, Sulewasi dan Kalimantan. Tentera Jepun tidak mengambil buruh dari kalangan orang tempatan kerana mahu menyimpan rahsia pembinaan terowong tersebut. Ratusan jiwa malahan ribu menjadi korban dalam pembinaan terowong ini, maka tidak hairanlah terowong ini begitu sinonem dengan kisah-kisah seram yang diceritakan oleh pemandu terowong. Buruh paksa dan tahanan besesak dilobang ini, tidak diberi makan dan minum dan akhir mati. Lobang ini terpaksa ditutup oleh pihak pengurusan kerana roh si mati yang tidak keruan sering mengangggu pengunjung terutama anak-anak kecil. Letih juga saya berjalan dari satu terowong ke satu terowong yang panjang itu.
             Ngarai Sianok adalah sebuah lembah curam (jurang) yang terletak bersebelahan Lobang Jepang di perbatasan kota Bukit Tinggi di kecamatan 1V Koto, Kabupaten Agam, Sumatera Barat. Lembah ini memanjang dan berkelok sebagai garis batas kota dari selatan ngarai kota Gadang sampai ke ngari Sianuk Anam Suku dan berakhhir di Kecamatan Palupoh. Ngarai Sianok memiliki pemandangan yang sangat indah. Kedalaman jurangnya sekitar 100m ini membentang sepanjang 15km dengan lebar sekitar 200m dan merupakan bahagian dari patahan yang memisahkan pulau Sumatera menjadi dua bahagian memanjang (patahan semangko). Patahan ini membentuk dinding yang curam hasil dari gerakkan turun kerak bumi yang di aliri sungai Sianok yang jernih airnya. Di Zaman kolonial Belanda, jurang ini disebut juga sebagai Karbauwengat kerana bnyaknya kerbau liar yang hidup bebas di dasar ngarai ini. Sungai sianok ini boleh diharungi dengan menggunakan keno dan kayak dan ia begitu menjadi kegemaran bagi peminat sukan air. Saya dan Azmi tidak melihat dan melawat lembah ini secara keseluruhannya. Ini adalah disebabkan faktor masa dan kepenatan meneroka terowong Jepang. Seperti juga melawat negeri Melaka, bandaraya warisan dunia, kalau sehari difokuskan masa lawatan, memang tidak mencukupi. Banyak tempat-tempat yang akan tertinggal untuk dilawati. Tidak mengapa, ini menunjukkan bahawa saya mungkin akan berkunjung lagi ke sini di lain waktu dan masa yang sesuai.
               Jam 0230 petang, saya dan Azmi terus bergerak ke perhentian bas dengan menaiki bas kota untuk mendapatkan kenderaan ke ibu kota Padang. Mudah, cukup 8 orang, van travel yang rata-ratanya menjadi pengangkutan awam di mana juga provinsi di Indonesia terus meluncur laju. Percakapan dan perbualan dengan masyarakat Minangkabau mahupun Kerinci dalam bahasa Melayu begitu mudah kerana selain menggunakan loghat ibunda, mereka menggunakan bahasa Melayu dalam pertuturan harian. Kenderaan yang saya naiki selama 3 jam untuk sampai ke ibu kota Padang ada masanya tidak dapat bergerak laju kerana keadaan jalan yang berliku-liku dan kenderaan yang agak banyak menuju ke tujuan membuatkan kelancaran kenderan terhenti hampir 20 minit menuju ke lembah Anai.
Air terjun Lembah Anai yang berketinggian 60 meter begitu memukau pemandangan kepada mereka yang melalui jalan raya Bukit Tinggi ke ibu kota Padang. Sungai besar berbatu dan berjeram dengan air yang jernih lagi deras menjadi tumpuan warga setempat beristirihat bersama keluarga di hujung minggu. Saya hanya dapat melihat air terjun dan keindahan sungai dari dalam kenderaan saja. Penempatan masyarakat setempat boleh dikatakan padat di kiri kanan jalan. Pekan Solo dan Pariaman kami lalui dalam cuaca hujan yang agak lebat menuju ke Kota Padang.
                Jam 5.00 petang kami tiba di ibu Kota Padang dalam suasana hujan yang masih lagi lebat. Tiada apa yang dapat kami lakukan dalam keadaan hujan begini. Segala rancangan menjadi tergendala dan akhirnya terbatal. Hasrat saya untuk ke pantai Teluk Bayur dan melihat batu Malim Kundang di pantai Air Manis tidak terlaksana. Selain dari hujan yang tidak menunjukan akan berhenti pada petang itu, masa yang semakin lewat membuatkan kami merancang untuk membatalkan rancangan untuk menginap di Ibu kota Padang dan mendapatkan kenderaaan untuk ke Tanah Tinggi Kayu Aro pada malam itu. Kenderaan diperolehi dengan mudah saja walaupun kami agak lewat. dengan harga tambang sekitar rm40, jam 0800 malam bersama 4 orang anak muda dari Jakarta yang katanya mahu mendaki Gunung Kerinci, kenderaan van travel meluncur laju ke distinasi. Keletihan saya dari awal pagi kerana kurang tidur dan kepenatan ditambah pula mendapat ruang yangg agak selesa di sebelah pemandu membuatkan saya terlena panjang dalam perjalanan itu.
        
;    Kelenaan saya terjaga sebaik Azmi mengejutkan saya setibanya di perladangan Kayu Aro jam 0300 pagi. Kami menjejaki bumi Kayu Aro dalam gelap pekat. Perlahan-lahan kami menuju ke deretan gerai buah-buahan dan hasil tani yang lampunya dibuka sepanjang malam. Keselesaan kami begitu terganggu dengan kesejukan yang begitu mencengkam hingga ke tulang Hitam. Kami memanaskan badan dengan membakar apa saja. Sebaik bahan bakaran habis, kami kesejukan lagi. Menunggu siang dan matahari terbit agak lama lagi. Azmi begitu mencuit hati saya. Mengeletar tidak keruan dia dek sejuk yang tidak tertahan. Tiada calet atau tempat penginapan berbayar di sini. Kami ditunjukan sebuah madrasah untuk berehat oleh seorang dua pekerja ladang yang kebetulan lalu di hadapan kami. Di madrasah yang masih belum lengkap pembinaannya, saya dan azmi mencari apa jua barang untuk dijadikan selimut. Nasib baik saya berpakaian agak tebal tapi bagi Azmi, bertshirt lengan pendek begitu menyukarkan sekali dalam sejuk begini. Sehelai kain pelikat yang saya berikan padanya tidak menyelesaikan masalah. Saya bimbang Azmi mengalami kekejangan otot dan saraf. Carpet (tikar) madrasah yang dalam keadaan digulung digunakan oleh Azmi untuk menyelimut badan. Hah selesai sedikit masalah. Kami terlena juga dalam keadaan sejuk itu. Jam 0600 pagi, sebaik tersedar kami mengerjakan sholat subuh. Dalam samar-samar menunggu matahari terbit kami mendapatkan sebuah gerai minuman untuk bersarapan. Secawan kopi o dan semangkuk mee segera panasnya tidak sampai 5 minit terpaksa kami telan demi untuk memanaskan badan dan memperolehi tenaga buat aktiviti seterusnya.
              Mentari semakin menjelma, seluruh perladangan Kayu Aro semakin kelihatan, luas terbentang, sayup mata memandang. Puncak gunung tujuh dan gunung merapi Kerinci mula kelihatan. Selepas bersarapan kami menuju ke Taman Negara Nasional Kerinci Seblat untuk melihat air terjun Telun Berasap. Air terjun ini bersumber dari sungai yang berhulu di Danau Gunung Tujuh (Danau yang tertinggi di Asia Tenggara) 1905m  di atas permukaan laut yang mengalir ke sungai Batang Sagir melewati tebing terjal dengan ketinggian sekitar 50m. Di kiri kanan jalan menuju air terjun di penuhi dengan pokok kayu manis dan pokok strawberry. Bayaran rm2 untuk memasuki kawasan air terjun dibayar kepada seorang wanita yang rumahnya berdekatan pintu gerbang Taman Negara Nasional Seblat ini. Entah sampai entah tidak kutipan wang masuk itu kepada pihak yang berwajib, wallahualam. Sebaik sampai ke pelantar (tempat Melihat) air terjun, saya merasa terpegun! wow, cantik dan menggkagumkan. Air terjun jatuh ke lembah yang mengalirkan air ke sungai yang berbatu. Air terjun ini bukan berasap, tapi disebabkan percikan airnya yang jatuh dari tempat yang tinggi membuatkan ia seperti berwap dan berasap. Memang mengasyikkan kalau dilihat di waktu pagi, Tumbuh-tumbuhan hijau, flora dan fauna di sekitar lembah yang dingin ini membuatkan pengunjung merasa sukar untuk meninggalkannya dalam jangkamasa yang singkat. Di kawasan air terjun ini juga dikabarkan terdapat sebuah gua yang panjang dan dalam, tetapi hingga saat ini tiada siapa yang mampu memasukinya atas sebab-sebab yang tidak pula diketahui.
               Matahari semakin meninggi, Puncak gunung Kerinci yang gondol semakin jelas kelihatan. Gunung yang berketinggian 3800m dari aras laut merupakan gunung berapi tertinggi di Indonesia yang dikelilingi hutan tebal Taman Nasional Kerinci Seblat dan juga merupakan bahagian dari pergunungan Bukit Barisan di Kabupaten Kerinci yang menjadi habitat harimau Sumatera. Keindahan dan kemegahan alamnya mendapat julukan sebagai "sekepal Tanah Syurga yang tercampak ke Bumi". Gunung Kerinci pernah memuntahkan laharnya pada tahun 2009. Gunung ini memiliki kawah sedalam 600m berbentuk keruncut dengan dinding bahagian atas berukuran 600m x 500m dan 120 x 100m untuk dinding bahagian bawah. Kawah ini diisi oleh air dengan warna hijau kekuningan. Disebelah timur terdapat danau Bento, rawa berair jernih tertinggi di Sumatera. Di belakang gunung Kerinci pula terdapat gunung Tujuh dengan hamparan kawah yang sangat indah yang hampir tidak tersentuh dek pembangunan.Sehari berada di Taman Nasional Kerinci Seblat ini memang tidak mencukupi, Apakan daya, 10 hari masa yang saya ambil untuk melihat keindahan alam semula jadi di negara yang serumpun ini memang begitu singkat. Masanya sentiasa diisi dengan aktiviti.
             Dari Taman Nasional Kerinci Seblat, kami melanjutkan lagi perjalanan pada pagi itu dengan melihat perladangan tanah tinggi yang dingin itu dengan rasa yang begitu teruja sekali. Dieng sebagai sebuah daerah di dataran tanah tinggi di sini begitu subur sekali tanahnya. Letak apa saja biji benih, pasti ia akan tumbuh dan membesar. Kentang merupakan tanaman utama di sini bahkan kentang-kentang yang terdapat di sini merupakan kentang yang bermutu dan menjadi hasil eksport dan keperluan restoran ternama. Kobis, cili dan pelbagai lagi tanaman sayuran kontan juga ditanam di perladangan yang seluas mata memandang. Saya dan azmi menyusuri jalan raya sejauh 3 kilometer bagi mendapatkan kepuasan melihat tanaman subur di kiri kanan jalan. Sebuah sekolah dasar yang terdapat di perladangan ini, anak-anak sekolahnya keruh warna seragamnya kerana debu. Agaknya memang beginilah rutin harian bagi penduduk di tanah tinggi, siang berladang malam memikirkan hari esok.
                Sebuah lori sayur yang lalu di hadapan kami ditahan oleh Azmi untuk kami ke ladang teh pula.Kayu Aro sudah dikenali sebagai penghasilan teh sejak zaman Belanda lagi, bahkan teh terbaiknya saat itu selalu dikirim untuk minuman ratu Belanda. Ladang teh seluas 2500 hektar ini dikelolakan oleh PTP Nusantara VI di Kayu Aro. Ladang teh ini juga merupakan ladang teh yang terluas di dunia. Sebahagian teh hitam (otordox) di sini masih ditanam sejak 1928 oleh perusahaan belanda Namlodee Venotchaat Handle Verininging Amsterdam. Setiap tahun dari perladangan teh ini menghasilkan teh hitam seberat 5500 tan dan dieksport ke Eropah, Russia, Timur Tengah, Amerika dan lain-lain. Saya sempat membeli 10 kotak teh tersebut kerana saya memang peminat teh. Keinginan Azmi untuk melihat kilang memperoses teh di perladangan itu mencuit hati saya. Bersungguh-sungguh Azmi menuju pintu pengawal bagi memohon kebenaran lawatan. Tanpa temu janji bukan mudah bagi seorang dua memasuki kilang atau permis perusahaan. Saya sudah merasakan lebih awal lagi bahawa keinginan ini tidak akan terlaksana, tapi biarlah Azmi dengan usahanya.Kami menyinggahi pekan kecil Kayu Aro yang agak sibuk pagi itu. Masyarakat petani dan peniaga di tanah tinggi itu sering dan sibuk berurusan dalam urusan jual beli. Puas melihat ragam dan telatah mereka, saya dan Azmi menaiki bus mini untuk ke kota Sungai Penuh dan seterusnya kembali ke Pulau Tengah. (Bersambung di bahagian akhir SEJAMBAK BUDI SUKAR DITUKAR GANTI).