MENYUSURI LINGGA - NEGERI BONDA TANAH MELAYU
Lingga adalah sebuah arca atau patung yang merupakan sebuah objek pemujaan atau sembahyang umat Hindu. Kata lingga ini biasanya singkatan daripada Sivalingga dan merupakan sebuah objek tegak, tinggi yang melambangkan falus (penis) atau kemaluan Batara Siwa (Dewa atau tuhan hindu).
Kepulauan Lingga adalah pulau-pulau yang terletak di selatan kepulauan Riau ( Kepri) dan berkedudukan di Selat Melaka. Lingga adalah sebuah nama pulau yang terletak di sebelah selatan pulau Bintan dan beribu kota Daik. Konon nama pulau Lingga diberikan oleh pelaut Cina di masa lampau kerana mereka memandang puncak-puncak gunung Daik yang kelihatan dari jauh menyerupai gigi naga. (Lingga juga mendapat julukkan" Negeri Bonda Tanah Melayu". Kepulauan Riau merupakan provinsi baru hasil pemetaan dari provinsi Riau, Indonesia. Kepulauan Riau merupakan provinsi ke 32 di Indonesia yang mencakupi Kota Tanjung Pinang, Kota Batam, kabupaten Bintan, kabupaten Karimun, Kabupaten Natuna, Kabupaten Kepulauan Anambas dan Kepulauan Lingga. Garis khatulistiwa melewati kepulauan ini ya itu di hujung utara pulau Lingga, pulau utama di kepulauan ini. Pulau-pulau di kepulauan ini terdiri dari Pulau Lingga, Pulau Singkep, Pulau Sebangka dan Pulau Bakung.
Pendedahan tentang kepulauan Lingga juga telah lama saya ketahui sejak di alam persekolahan lagi. Kabupaten Lingga memiliki kekayaan alam yang luar biasa dengan berbagai keragaman dan potensi. Sektor pelancongan merupakan salah satu aset ekonomi. Pantai-pantai yang putih bersih dan masih dengan keasliannya serta tinggalan sejarah pemerintahan kesultanan Melayu Melaka membuatkan Lingga merupakan tempat pelancongan nusantara yang wajar dikunjungi. Kesultanan Lingga merupakan kerajaan Melayu yang pernah berdiri di Lingga. Berdasarkan Tuhfat al Nafis, Sultan Lingga merupakan pewaris Sultan Johor. Sultan Abdul Rahman Muazam Syah merupakan kerajaan pertama Kesultanan Lingga 1819 - 1832. Lain-lain sultan yang memerintah Lingga adalah:
a. Sultan Muhammad IIMuazam Syah 1832-1835
b. Sultan Mahmud IV Muazam Syah 1835 -1857
c. Sultan Sulaiman II Badarul Alam Syah 1857-1883
d. Sultan Abd Rahman II Muazam Syah 1885-1911.
Kerajaan kesultanan Melayu Lingga berakhir pada 03 Feb 1911 apabila ia dihapuskan oleh pemerintahan Hindia Belanda.
Peredaran masa dan kecanggihan media maya memberi laluan yang lebih mudah untuk saya menjejaki Kepulauan Lingga apabila saya mengenali rakan di alam maya seperti Azmi, Anton dan Iskandar. Berbekalkan maklumat dari maya dan rakan bertiga ini, saya telah mengggerakkan kaki ke kepulauan tersebut pada 24 Dis 2013 dengan menaiki feri dari Jeti Antarabangsa Stulang Laut di Johor Bharu. Perjalanan dengan feri menuju ke Tanjung Pinang selama 3 jam tidaklah terasa lamanya kerana perjalanan laut ini dihiasi dengan pemandangan kapal-kapal dagang yang melalui selat melaka yang begitu sibuk. Pemandangan sebahagian pesisir pantai Woodland di Singapura yang bersambung dengan Tambak Johor manakala pesisir pantai bandaraya Johore Bharu menganjur ke Pasir Putih dan pelabuhan Pasir Gudang, membuatkan penumpang feri Indomal berasa leka dengan santapan pemandangan tersebut. Semakin jauh perjalanan, kami disajikan pula dengan pemandangan kepulauan Karimun dan Batam sehinggalah feri semakin mendekati pelabuhan Sri Bentan Pura di Tanjung Pinang. Pelabuhan Sri Bintan Pura juga merupakan pelabuhan utama bagi menghubungkan perjalanan laut menuju ke pulau-pulau yang lebih selatan darinya seperti ke kepulauan Lingga yang kini ingin saya jejaki.
Menaiki feri Indomal menuju Tanjung Pinang dari Stulang Laut, Johor
Di Tanjung Pinang saya disambut oleh Anton dan Iskandar yang saya kenali semasa kunjungan kali pertama saya ke sini bersama isteri. Memandangkan isteri saya bukan seorang pengembara rimba seperti saya, maka tidaklah banyak yang dapat saya perolehi dalam kunjungan tersebut selain mengunjungi Pulau Penyengat dan beristirihat serta berjalan-jalan sahaja. Banyak keluh kesahnya yang mencerminkan ia tidak selesa dengan suasana tempat tersebut. Yalah mana nak sama bandar di pulau dengan bandar di daratan. Ini bukan Singapura, ini Indonesia yang mempunyai ratusan buah pulau yang tak termampu oleh pemerintahnya untuk membangunkan dengan sebaik mungkin. Saya akan ceritakan pengalaman pengembaraan saya di Tanjung Pinang dalam siri-siri akan datang. Perkenalan yang lebih dekat saya dengan Azmi di alam maya memudahkan rancangan saya untuk mengunjungi Lingga. Azmi telah memperkenalkan saya dengan bapa saudaranya yang tinggal di Daik bernama Yusof (Pak Jo).
Saya sangat-sangat berterima kasih dengan Azmi dan lebih-lebih lagi pada Pak Jo sekeluarga. Disebelah petang 25 Dis 2013 hari ketibaan saya ke Tanjung Pinang, saya bukan sahaja bersama Aton dan Iskandar, tapi Pak Jo juga telah sedia ada. Pertemuan berempat kami sambil minum-minum serta menghirup udara petang pantai Tanjung Pinang berlangsung dengan begitu mesra dan penuh rasa persaudaraan serumpun. Pak Jo yang bekerja di bahagian pelancongan (parawisata) dan berpejabat di Muzium Lingga di Daik sebelum itu bertugas sebagai seorang guru. Jam 11.00 pagi 26 Dis 2013 dengan feri Lingga Permai, saya, Pak Jo dan mereka-mereka yang ingin kembali ke kampung halaman atau berurusan di Lingga bergerak dalam sausana cuaca yang cukup tenang. Angin laut Selat Melaka bertiup sepoi-sepoi bahasa seakan mengalu-alukan kedatanganku ke bumi Lingga. Hampir 5 jam perjalanan untuk sampai ke Daik jelas Pak Jo kepadaku. Penuh feri Lingga Permai dengan penumpang. Semuanya berwajah Melayu dan rumpunnya.Pertuturan mereka juga sama dengan pertuturan bahasa yang ku ucapkan setiap hari samada bersama rakan dan juga keluarga.
Dalam persiapan untuk menaiki feri Lingga Permai untuk ke Lingga
Ramah orang-orang yang menaiki Lingga Permai lebih-lebih lagi apabila mengetahui aku dari Melaka bahkan ada dari kalangan mereka mempelawa aku singgah di rumah apabila samapai ke Lingga nanti. Kebanyakan dari mereka masih mampu untuk bercerita tentang asal usul dan lingga. Hampir 1 jam perjalanan, feri Lingga Permai berhenti di pulau paling utara di gugusaan Lingga ya itu pulau Benan. Antara pulau yang terkecil, pulau Benan lebih menumpukan kepada aktiviti air seperti memancing dan menyelam bagi pelancong yang datang. Memandangkan kedatangan saya ke Lingga lebih tertumpu kepada Daik, maka tidaklah saya menjejak pulau-pulau yang lain. Bagi melawat pulau-pulau lain di gugusan Lingga ini, saya merancang untuk pergi buat kali kedua pada tarikh dan waktu yang tidak dapat ditentukan lagi. Jam 5 petang, Feri Lingga Permai merapati dan berhenti di pelabuhan jeti Tanjung Buton, Daik Lingga bagi menurunkan penumpang.
Meriah sungguh suasana di jeti pulau-pulau yang disingahi oleh feri Lingga Permai. Orang ramai yang ada di jeti tersebut kerana menghantar dan menyambut orang yang datang dan pergi dari pulau tersebut. Jika penumpang feri itu dari luar kepulauan Lingga, mereka akan disambut dengan senyum manis, tutur kata yang sopan dan penuh rasa persaudaraan. Dengan menaiki sebuah motorsikal yang ditungani oleh Pak Jo maka bermulalah penjejakkan kakiku di pulau ini. Aku terus dibawa oleh Pak Jo ke rumahnya yang terletak di kampung
Gunung Daik dilihat dari Jeti Tg Button
Sawah Indah. Benar kata Fazli Abdullah, penulis cerita pengembaraan ukhuwah ke Lingga bahawa penempatan penduduk Lingga Daik agak terkedalam penempatan penduduknya dan tidak berpusat di pinggir pantai. Jeti Tanjung Button agak sibuk petang itu dengan orang ramai dan kesibukan itu akan terus berlaku tiap kali feri tiba dan pergi pada setiap hari. Tiada wajah lain kali pertama ku temui orang-orang di pulau Lingga kecuali wajah bangsaku. Berkulit sawo matang dan sedikit hitam dek panas mentari dan hawa pantai. Dirumah Pak Jo, saya disediakan sebuah bilek siap bilek air di dalam buat saya tidur dan berihat sepanjang saya berada di Daik. Di Sawah Indah, Pak Jo tinggal bersama isteri dan anak gadis suntinya. Dua orang lagi, yang sulung sedang menutut di sebuah universiti di Pekan Baru, Riau dan seorang lagi di Tanjung Pinang. Petang itu saya berjemaah maghrib di masjid Sultan Lingga, Daik. Agak menarik binaan masjid ini dengan warna asasnya kuning dan hijau muda.
Bersama Pak Jo di Jeti Tg Button
Masjid Sultan Lingga, Daik
Masjid ini didirikan oleh Sultan Mahmud Syah III pada awal tahun 1800 dan ianya dinaik taraf dari semasa ke semasa hinggalah sekarang. Dibelakang masjid tersebut terletaknya makan sultan Mahmud dan kaum kerabatnya. Sementara menunggu untuk bersolat jemaah fardhu Isyak saya mengambil kesempatan berbual mesra dengan jemaah yang hadir. Cara berpakaian dan pertuturan mereka sama seperti orang tua dewasa di tempat saya. Berterima kasih mereka dengan kehadiran saya ke Daik. Selesai bersolat isyak, saya dibawa oleh Pak Jo dan keluarga menghadiri majlis perkahwinan. Peluang baik yang tidak akan dapat saya lepaskan. Memang sebelum memijakkan lagi kaki ke bumi Lingga, saya telah menanam hasrat untuk melihat majlis perkahwinan Melayu Lingga dari dekat dan peluang ini umpama orang mengantuk disorongkan bantal. Tidak seperti di daerah saya, Melaka dan Johor, majlis perkahwinan memakan belanja puluhan ribu ringgit, majlis disini diadakan dalam suasana yang sangat sederhana atau mungkin juga bergantung kepada kewangan keluarga yang mengadakan majlis tersebut. Apa pun bukan besar atau kecil majlis tersebut yang ingin saya lihat. Saya ingin melihat dari segi hidangan budaya seperti berpakaian dan adat istiadat Melayu dalam majlis itu. Pengunaan warna pada setiap majlis yang diadakan di kepulauan Riau masih menggunakan tiga warna asas yaitu warna kuning, hijau dan merah dan warna-warna lain sebagai sampingan. Majlis akad nikah dikatakan telah berlangsung pada siang hari dan pada malam itu diadakan majlis persandingan dan menjemput tetamu. Warna asas tadi mewarnai maljis pada malam itu seperti pelamin dan pakaian tradisional yang dipakai oleh pengantin. Makanan yang dihidangkan juga ringkas sekali, nasi putih berlauk sambal ikan tongkol dan sayur goring. Sebiji telur berwarna pink sebagai pelengkap majlis. Satu yang tak tinggal dalam majlis keramaian masyarakat Melayu Lingga adalah muzik. Ia juga bertindak sebagai pelengkap majlis. Rasanya macam tak meriah majlis yang diadakan tanpa muzik.
Perjalanan yang agak lama di laut membuatkan saya merasa tidak sihat, badan terasa seram sejuk seperti hendak demam. Saya lebih banyak berihat dan tidur sehingga keesokan harinya di bilek. Setelah memakan sebiji dua pil Panadol, pagi esoknya saya berkemampuan melawat beberapa lagi tempat bersejarah, seperti puing istana Damnah dan replikanya, Istana Damnah merupakan antara tiga istana yang dibina oleh kesultanan Melayu Lingga bagi tujuan urusan pemerintahan. Dua lagi istana ialah istana Kenanga
dan istana Kedaton. Perkataan Damnah adalah gabungan dua perkataan harian Melayu lama iaitu 'Dam' bermaksud jauh dan 'Nah' bermaksu betul. Kompleks ini berkeluasan 100 panjang x 150m lebar. Replika ini tidak seratus peratus menyerupai istana asal.
Situs Pondasi Bilik 44 ini dirancang pembinaannya oleh sultan Mahmud Syah dan dibangunkan pada masa pemerintahan Sultan Mahmud Muzzafar Syah yang dirancang sebagai tempat tinggal keluarga sultan atau sumber lain sebagai tempat simpan berbagai jenis hasil kerajinan. Ukuran pondasi Bilik 44 ini sekitar 48x49 meter dan jumlah pondasi ruang yang baru disiapkan sebanyak 32 buah. Bilik-bilik lain tidak dapat disiapkan kerana penurunan tahta baginda sultan dari tahta Kesultanan Lingga Riau pada 23 Sep 1857.
Muzium Linggam Cahaya yang dibina oleh Dinas Parawisata (Pelancungan dan Kebudayaan) adalah bertujuan menempatkan artifak peninggalan kesultanan Melayu itu. Muzium yang menempatkan lebih 100 artifak peninggalan Kesultanan Melayu Riau-Linggga ini terletak kira-kira dua kilomter dari istana Damnah. Muzium ini berkeluasan kira-kira 2600 meter persegi. Antara bahan budaya jenis ini yang ada ialah Pahar (tempat meletak barangan) Tepak Sireh, Talam , Keto (bekas berkahak, ludah, makan sireh), Bon (tempat menyimpan alat menjahit. Barangan lain seperti senjaya, Keris, Tombak, Kerambit, Pedang dan Parang dan barangan lain seperti Tembikar dan Duit lama.
Keadaan kesihatan yang tidak begitu baik membuatkan pergerakan saya di Daik agak terbatas, Saya banyak dibantu oleh Pak Jo dalam menjejaki satu persatu tempat tempat bersejarah di Daik.Antara tempat-tempat bersejarah di Daik yang sempat saya kunjungi adalah:
1. Benteng Kuala Daik. Meriam-meriam pada Benteng Kuala Daik masih banyak yang tertanam, Kuala Daik adalah lalu lintas sungai Daik yang dulunya sangat dalam dan lebar sehingga dapat dilalui oleh kapal dagang.
2. Benteng Bukit Cening di Daik. Benteng berukuran 32m x 30m ini tyerletak di Bukit Cening, Kampung Seranggung. Ia dibangunkan semasa pemerintahan Sultan Mahmud Syah III (1761-1812). Terdapat 19 buah meriam, dua diantaranya bertulis angka 1783 dan 1797 serta Voc. Meriam terpanjang berukuran 280m dan berdiameter 12cm.
3. Antara makam-makan pula yang sempat saya kunjungi adalah makam Yang Di pertua Muda X Raja Muhamad Yusof atau disebut Makam Merah. Sebab ia dipangggil makan merah kerana pagarnya berwarna merah. Kompleks makam di Bukit Cengkih terletak di Bukit Cengkih, Daik. Di kompleks ini terletak makam-makam sultan yang memerintah Lingga seperti yang saya sebutkan di atas.
Pada sebelah malamnya saya sekali lagi dibawa oleh Pak Jo menghadiri kenduri kembali dari umrah. Juadahnya macam hidangan kenduri Melayu Johor. Pekan Daik saya kunjungi selepas menghadiri majlis tersebut, Tiada bangunan batu, hanya bangunan kayu dua tingkat yang didominasi oleh kaum Cina yang menjadikan peniagaan sebagai pencarian utama. Dari siang hingga ke malam saya menjelajah bumi Daik, sempat juga saya singgah di beberapa kedai makan dan menunya sama seperti Johor. Menginapnya saya buat malam kedua di rumah Pak Jo bererti selesailah sudah pengembaraan saya ke bumi Lingga Daik. Saya sangat-sangat berterima kasih kepada Pak Jo dan isteri kerana bersusah payah menerima kedatangan saya ke bumi mereka . Tudung Manto yang terlipat rapi tetap kami simpan sebagai kenang-kenangan dan pulau-pulau lain di Lingga akan saya kunjungi bila ada masa terluang. Terima kasih juga kepada Azmi,Anton dan Iskandar.
Tudung Manto
Rumah tempat saya menginap
Terima kasih Pak Jo dan keluarga
Pulau Pandan Jauh Ketengah
Gunung Daik Bercabang Tiga
Hancur Badan di Kandung Tanah
Budi Yang Baik DiKenang Juga.