AKU YANG DULU BUKANLAH SEKARANG
Aku dilahirkan di sebuah kampung yang diberi nama Kampung Lubok, Semerah, Batu Pahat, Johor tanggal 17 Januari 1960. Zaman aku masih kecil, kehidupanku tergolong dalam kategori miskin tegar, bukan aku sahaja, rakan-rakan sebayaku begitu juga. Kampung halamanku semasa kanak-kanak juga miskin sepertiku, Masih belum menerima arus kemodenan. Mandi di sungai, parit dan perigi dan di malam hari bercahayakan pelita minyak tanah. Ayahku (arwah) penghidap penyakit Angin Ahmar dan tidak mampu melakukan apa-apa pekerjaan. Aku, Abang dan adek-adekku seramai 3 orang diurus dan sayangi oleh ibuku yang kini semakin keriput tulang pipinya (meminjam kata-kata Ebit G Ade dalam lagunya) dek kerana kelanjutan usia dan gambaran perjuangannya yang tidak mengenal penat lelah untuk mengurus kehidupan aku dan keluarga. Seorang dari adik bungsuku terpaksa berlepas tangan dari kasih sayang seorang ibu dan aku berempat dek kerana kemiskinan dan ketidakmampuan ibu dan ayah membiayai kehidupannya. Banyak peristiwa-peristiwa silam yang sedih dan memilukan yang tak mampuku pamirkan di ruangan ini. Berani aku katakan demi untuk terus hidup dan mendapat sesuap nasi, aku kadangkala terpaksa menangis dan memberontak jika hakku dan keluarga dinafikan. Zaman persekolahan dari darjah 1 hingga 6 terpaksa ku harungi dengan serba kekurangan dan kepayahan. Hari demi hari kehidupan aku dan keluarga sedikit baik terurus apabila abang sulungku bekerja dan membantu ibu.
Aku, isteri, anak-anak dan cucu pertama Nur Anas Qalisya
Ayah kembali ke rahmatullah ketika usiaku 13 tahun. Kehilangan ayah sangat ditangisi. Walaupun ayah tidak dapat mengurus kehidupan aku, isteri dan anak-anaknya yang lain tapi dengan adanya ayah, maka adanya aku di dunia ini. (Alfatihah buat ayah). Tamat persekolahan sekolah rendah, aku memasuki persekolahan sekolah menengah dan mencapai keputusan sangat baik dalam peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran (masa itu), sekarang Penilaian Menengah Rendah terutama subjek sejarah. Tamat persekolah di tingkatan 5 dengan Sijil Pelajaran Malaysia pangkat 3, aku memasuki Angkatan Tentera dalam bahagian perkeranian dan pentadbiran dan bersara dengan pangkat Sarjan pada tahun 2000. Mendirikan rumah tangga pada usia 24 tahun dengan isteri yang sangat aku kasihi dan sayangi (RUMINI BTE KATIMEN)sehingga kini, moga kekal ke akhir hayat dan dikurniakan seorang cahaya mata dan kini mempunyai 2 orang cucu
.
Sebagai seorang anggota kerani, tidak banyak yang dapatku angkat sebagai pengalaman kecuali pengelibatanku dalam sukan peringkat Angkatan Tentera, seperti larian Merentas Desa, Larian Half Marathon dan aktiviti lasak seperti pengelibatan dalam Pasukan Atur Gerak Cepat (PAC). Ujian masa berbasikal seluruh Semenanjung Malaysia, Ekspedisi Borneo, Mendaki Gunung Tahan dan Kinabalu.
Kini aku masih lagi diberi kekuatan oleh Allah S.w.t walaupun sudah tidak seperti dulu kecergasannya untuk terus berbakti kepada agama, bangsa dan negara sebagai jurulatih di Biro Tatanegara. Harapan aku kepada anak-anak, cucu-cucu, jalanilah hidup ini dengan penuh tabah dan yakin bahawa Allah sentiasa bersama kita jika kita sentiasa bersamanya. Sekian, Aku nama yang dulu dan kini (MD NASIR BIN AHMAD)
blognya keren.. terimakasih atas informasinya, dan mohon maaf ada beberapa data yang saya ambil dari blog ini.. terimakasih banyak
BalasPadam