Khamis, 10 April 2014

SIAPA AKU

                                   AKU YANG DULU BUKANLAH SEKARANG

            Aku dilahirkan di sebuah kampung yang diberi nama Kampung Lubok, Semerah, Batu Pahat, Johor tanggal 17 Januari 1960. Zaman aku masih kecil, kehidupanku tergolong dalam kategori miskin tegar, bukan aku sahaja, rakan-rakan sebayaku begitu juga. Kampung halamanku semasa kanak-kanak juga miskin sepertiku, Masih belum menerima arus kemodenan. Mandi di sungai, parit dan perigi dan di malam hari bercahayakan pelita minyak tanah. Ayahku (arwah) penghidap penyakit Angin Ahmar dan tidak mampu melakukan apa-apa pekerjaan. Aku, Abang dan adek-adekku seramai 3 orang diurus dan sayangi oleh ibuku yang kini semakin keriput tulang pipinya (meminjam kata-kata Ebit G Ade dalam lagunya) dek kerana kelanjutan usia dan gambaran perjuangannya yang tidak mengenal penat lelah untuk mengurus kehidupan aku dan keluarga. Seorang dari adik bungsuku terpaksa berlepas tangan dari kasih sayang seorang ibu dan aku berempat dek kerana kemiskinan dan ketidakmampuan ibu dan ayah membiayai kehidupannya. Banyak peristiwa-peristiwa silam yang sedih dan memilukan yang tak mampuku pamirkan di ruangan ini. Berani aku katakan demi untuk terus hidup dan mendapat sesuap nasi, aku kadangkala terpaksa menangis dan memberontak jika hakku dan keluarga dinafikan. Zaman persekolahan dari darjah 1 hingga 6 terpaksa ku harungi dengan serba kekurangan dan kepayahan. Hari demi hari kehidupan aku dan keluarga sedikit baik terurus apabila abang sulungku bekerja dan membantu ibu.

                                      Aku, isteri, anak-anak dan cucu pertama Nur Anas Qalisya
                                              

            Ayah kembali ke rahmatullah ketika usiaku 13 tahun. Kehilangan ayah sangat ditangisi. Walaupun ayah tidak dapat mengurus kehidupan aku, isteri dan anak-anaknya yang lain tapi dengan adanya ayah, maka adanya aku di dunia ini. (Alfatihah buat ayah). Tamat persekolahan sekolah rendah, aku memasuki persekolahan sekolah menengah dan mencapai keputusan sangat baik dalam peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran (masa itu), sekarang Penilaian Menengah Rendah terutama subjek sejarah. Tamat persekolah di tingkatan 5 dengan Sijil Pelajaran Malaysia pangkat 3, aku memasuki Angkatan Tentera dalam bahagian perkeranian dan pentadbiran dan bersara dengan pangkat Sarjan pada tahun 2000. Mendirikan rumah tangga pada usia 24 tahun dengan isteri yang sangat aku kasihi dan sayangi (RUMINI BTE KATIMEN)sehingga kini, moga kekal ke akhir hayat dan dikurniakan seorang cahaya mata dan kini mempunyai 2 orang cucu

       . Sebagai seorang anggota kerani, tidak banyak yang dapatku angkat sebagai pengalaman kecuali pengelibatanku dalam sukan peringkat Angkatan Tentera, seperti larian Merentas Desa, Larian Half Marathon dan aktiviti lasak seperti pengelibatan dalam Pasukan Atur Gerak Cepat (PAC). Ujian masa berbasikal seluruh Semenanjung Malaysia, Ekspedisi Borneo, Mendaki Gunung Tahan dan Kinabalu. Kini aku masih lagi diberi kekuatan oleh Allah S.w.t walaupun sudah tidak seperti dulu kecergasannya untuk terus berbakti kepada agama, bangsa dan negara sebagai jurulatih di Biro Tatanegara. Harapan aku kepada anak-anak, cucu-cucu, jalanilah hidup ini dengan penuh tabah dan yakin bahawa Allah sentiasa bersama kita jika kita sentiasa bersamanya. Sekian, Aku nama yang dulu dan kini (MD NASIR BIN AHMAD)

Kembara 4 Provinsi di Sumatera - Bahagian 3

                          KERINCI DULU KU DENGAR NAMAMU KINI KU PIJAK BUMIMU

                 Hilang penatku, hilang keletihanku, bumi Kerinci telah pun ku dakap. Dulu ku dengar ceritamu bagaimana zaman kanak-kanak ku, ibu memanggil pulang anak-anaknya ketika waktu hampir senja. Balik cepat, nanti ditangkap orang Kerinci senja-senja ni. Agak tinggi suara ibu-ibu memanggil anak-anaknya pulang. Memang ada orang tua berbasikal dengan sebuah bakul besar di belakangnya keluar masuk kampung setiap hari pada zaman aku kanak-kanak. Aku tak tahu bagaimana rupa orang Kerinci kerana pada zaman aku kanak-kanak dulu, ku lihat orang tua yang mengayuh basikal itu agak hitam kulitnya, berwajah agak bengis dan garau suaranya. Tak pasti pula orang tua itu orang Kerinci atau tidak. Pada malam hari pula, ibu-ibu menakutkan anak kecil mereka dengan cerita-cerita Harimau Kerinci. Kenapa orang Kerinci dijadikan alat untuk menakutkan anak-anak oleh orang tua mereka, saya sendiri tidak dapat merungkaikanya. (maaf kepada masyarakat kerinci yang membaca kisah pengembaraan saya, saya tidak berniat untuk menyinggung kalian).

             Kabupaten Kerinci (daerah) berada di ujung barat provinsi Jambi, berbatasan dengan provinsi Sumatera Barat (Minanagkabau). Berkeluasan 3,355.27 km persegi mempunyai hampir 350.000.00 orang dan berkepadatan 70.8 orang km persegi serta mempunyai 12 kecamatan (mukim) dan beribukotakan Sungai Penuh. Penduduk kerinci adalah suku kaum kerinci itu sendiri dan sedikit Minang, Batak dan Tionghua. Nama Kerinci berasal dari bahasa Tamil ya itu nama bunga Kurinji yang tumbuh di India Selatan pada ketinggian di atas 1800m yang mekarnya satu kali selama 12 tahun. Suku Kerinci sebagaimana juga halnya dengan suku-suku lain di Sumatera termasuk ras Mongoloid selatan adalah penutur bahasa Austronesia. Berdasarkan bahasa dan adat istiadat suku Kerinci termasuk dalam kategori Proto Melayu, dan paling dekat dengan Minangkabau Deutro Melayu dan Jambi Deutro Melayu. Suku Kerinci memiliki aksara yang disebut aksara incung yang merupakan salah satu variasi surut ulu. Bahasa Kerinci termasuk salah satu anak cabang bahasa Austronesia yang ditutur dengan dialek Kerinci. Bagi masyarakat dibahagian pesisir barat Minangkabau, bahasa Kerinci tidak begitu asing. Salah satu yang khas dari dialek Kerinci ialah melafaskan 'i' menjadi 'ai'. Orang Kerinci pergi ke Jambi disebut ' Uhang Kinchai lalau ka Jamboi'. A menjadi ea, bila menjadi bilea, atas menjadi atoih dan tadi menjadi tadoih. Dengan jumlah penduduk yang begitu padat di sekeliling Danau Kerinci itu, Masyarakat Kerinci menarik garis keturunan secara material, artinya seorang yang dilahirkan menurut garis ibu menurut suku ibu. Suami harus tunduk dan taat pada tenganai rumah ya itu saudara lelaki dari isterinya.

               Dalam masyarakat Kerinci, perkahwinan dilaksanakan menurut adat istiadat yang sesuai dengan ajaran islam. Mengenai pernikahan masyarakat Kerinci mengutamakan penikahan dengan anak Datung dan atau anak Mamak (menikahkan anak-anaknya dengan sepupu mereka, dimana antara ibu dan ayah masing-masing. Pasangan ini adalah bersaudara. Dengan artikata awalnya ibu dan ayah pasangan  ini adik dan kakak, sekarang bertambah menjadi besan. Di sebabkan mereka menarik garis keturunan dari pihak ibu, pernikahan antara sepupu yang ibu masing-masing, pasangan ini adik beradik, hal ini sangat dilarang sama halnya dengan bapak masing-masing, pasangan ini adik beradik. Adat perkahwinan masyarakat Kerinci juga sangat ketat.Perjodohan akan ditentukan oleh pihak keluarga. Jika terjadi pernikahan diluar rumah pihak perempuan atau menikah diperantauan, maka menurut adat, pihak lelaki akan disidang oleh adat dirumah perempuan sekembali mereka dari perantauan. Setelah dinasihati dan tunjuk ajar adat kampung, nama pihak lelaki akan dicatat dibuku kuning adat dan wajib menyerahkan minima kepala kambing sebagai tebusan di dewan adat dan dikendurikan pada malam itu. Jika tidak tercatat dibuku kuning, pihak lelaki dianggap orang luar dan jika meninggal dunia dikampung itu, jasadnya tidak berhak dikubur disitu, Hubungan kekerabatan Kerinci mempunyai rasa kekeluargaan yang mendalam. Rasa sosial, tolong menolong tetap tertanam dalam jiwa masyarakat Kerinci. Masyarakat dan suku kaum ini telah mendominasi sosio budaya, adat dan gaya hidup yang tersendiri. Sejarah kabupaten kerinci boleh di akses di kerincikab.wordpress.com.

            Bermotokan' Sakti Alam Kerinci', Kerinci saya lihat dapat memberi pakej pelancongan lengkap kepada pelancong dan pengembara tegar yang mengimpikan alam semula jadi yang indah dan mendamaikan. Apa pun bukanlah perkara yang mudah bagi semua orang luar Kerinci untuk sampai ke buminya. Ini kerana laluan untuk sampai ke Kerinci hanyalah melalui jalan darat sahaja. Laluan udara hanya sampai ke Padang, Sumatera Barat. Untuk sampai ke Kerinci melalui Padang sejauh lebih 300 km memakan masa satu hari jika perjalanan sebelah siang begitu juga perjalanan sebelah malam. Jalan utama ke Kerinci begitu berliku dan berkerikil di sesetengah tempat. Begitu juga jika memasuki Kerinci dari Jambi sejauh 450km keadaan jalannya sama saja berkerikil dan tidak dibaiki . Saya mengerti, mungkin kerana terlalu banyaknya provinsi di Indonesia, maka pihak pemerintah tidak dapat memberi yang terbaik buat rakyatnya.
          
            
            02 Mac 2014 dalam cuaca pagi yang masih dingin, saya dan Azmi telah mula meninjau dan melihat secara dekat deretan rumah-rumah lama dan baru mengikut senibina Kerinci memadati kiri kanan jalan di Pulau Tengah tempat saya menginap sepanjang saya berada di Kerinci. Padat perumahan mereka, tetapi tersusun dan bercampur dengan rekabentuk rumah moden dan tradisional Kerinci. Rumah Laheik (Larek) merupakan rumah tradisional Kerinci. Pola rumah larek berjejer memanjang dari arah timur ke barat sambung menyambung antara satu rumah dengan rumah disebelahnya hingga membentuk sebuah larek. Rumah larek limo Luhah merupakan salah satu kawasan rumah Larik yang terdapat dalam wilayah adat Depati Nan Bertujuh Sungai Penuh selain kawasan Rumah Larik Pondok Tinggi dan Dusun Baru.

             .Pembinaan dan mendirikan rumah dalam masyarakat Kerinci agak unik. Setelah alat-alatan rumah siap, sehari sebelum mendirikan tiang rumah, keluarga yang punya rumah datang menjemput tiap-tiap orang lelaki, sanak saudara bergotong royong mendirikan rumah. Setelah berkumpul, tuan
rumah mempersilakan dewan adat, Buya untuk membaca doa, tak lupa ayam hitam disembelih dan darahnya disiram di tiap tiang dan batang tebu diikat di tiap tiang. Paling utama seorang wanita hamil akan turut hadir di tengah tapak binaan (konon untuk menambah seri rumah. Setandan pisang pula disangkut di atas tiang utama. Setelah selesai gotong royong itu, penyiapan rumah diteruskan oleh tukang upahan sehingga rumah itu siap. Model dan konstruksi arsitektur rumah tradisional Kerinci mencerminkan betapa masyarakat sangat mengutamakan semangat kekerabatan, kebersamaan

Menarik, mungkin rumah saya seperti ini tahun 2016 ?.

dan kegotoroyongan dalam kehidupan sebagai falasafah pegangan hidup manusia sebagai makhluk sosial.
Kepesatan pembangunan moden dan kemampuan kewangan penduduk menyebabkan kehadiran rumah Larek yang berasaskan kayu semakin hilang dari pandangan. Kebanyakan rumah moden tetapi berbumbung gaya masyarakat Kerinci dibina dua tingkat yang mana bahagian bawahnya dijadikan permis perniagaan kecil-kecilan. Untuk mendapat maklumat lengkap rumah Larek sila kunjungi blokprinsip.blokspot. com. Penempatan masyarakat Kerinci yang mengelilingi keseluruhan Danau Kerinci yang berkeluasan 4200 hektar dan dikelilingi gunung ganang yang membiru serta sawah padi yang menghijau amat memukau mata memandang. Amat berbaloi saya menempuh perjalanan laut dan darat hampir sehari semalam untuk berada disini. Hampir keseluruhan penempatan penduduk saya jelajahi dengan motorsikal yang dipandu oleh Azmi. Lensa kamera sentiasa bekerja bagi merakam pemandangan dan binaan bersejarah lagi menarik.

            Bumi Kerinci pernah dilanda gempa bumi bersekala besar yang memakan korban dan kerosakan yang teruk pada tahun 1995. Kesan ini boleh dilihat di masjid lama yang rosak dan kini dijadikan tugu sebagai memperingati peristiwa itu. Masjid Keramat Koto Tuo (tua) yang terletak di Pulau Tengah merupakan binaan yang tertua di Tanah Kerinci dan dibina pada tahun 1785. Hampir keseluruhan skruktur binaan masjid ini dibina dari kayu yang tidak berpaku yang sehingga kini terus berdiri kukuh. Agak unik binaan masjid ini. Ia seperti masjid Demak di pulau Jawa.Apa yang membuat saya berfikir panjang adalah bagaimana orang yang membinanya pada zaman itu mengangkat dan mendirikan kayu-kayu yang besar lagi berat tanpa dibantu oleh jentera. Masjid ini pada masa penjajahan kolonial Belanda juga bertindak sebagai kubu atau benteng bagi penduduk yang melarikan diri dari ditangkap dan dibunuh oleh tentera Belanda.

          Mengikut cerita orang tertua di daerah Kerinci ini, masjid tuo ini yang dibakar oleh tentera Belanda tidak dimakan oleh api dan semasa kejadian gempa bumi besar ia tidak sedikit pun rosak dan terjejas. Setiap kariah di permukiman masyarakat Kerinci yang padat ini mempunyai masjid sendiri. Masjid-masjid yang dibina di setiap kariah ini dibaayai oleh kariah itu sendiri dan kalau dilihat dari saiz dan kemewahan yang ada di masjid-masjid tersebut, ia memakan modal yang bukan sedikit. Memasuki hampir waktu sholat terutama maghrib dan subuh, akan bergemalah suasana persekitaran masjid ini dengan bacaan ayat-ayat suci Alquraan samada ia dibaca oleh jemaah itu sendiri atau kaset. Islam memang tidak dapat dipisahkan dengan masyarakat Kerinci. Bumi Kerinci bumi islam, orang Kerinci orang islam dan bagi mereka yang secara sedar atau tidak ingin keluar dari islam akan dinyahkan dari bumi kerinci.

           Jutaan terima kasih yang tidak terhingga kepada Azmi dan isteri, ibu Nursyatimah dan kaum keluarganya yang berkampung halaman di Kerinci. Jasa baik kalian semua tetap saya sematkan dalam sanubari sehingga keakhir hayat. Selama saya berada di Kerinci, mereka sekeluarga terlalu bersusah payah melayan saya dari segi penginapan dan makan minum. Berada di bumi kerinci yang agak dingin, perut sentiasa lapar. Kesediaan ibu Nursyatimah dan anak-anak menyediakan makanan menu Kerinci tidak mampu ditolak oleh perut saya.
                                                                                                            
                                                                                                                    
                                                                                                      

Memang sudah begitu budaya orang Kerinci agaknya, sentiasa memuliakan tetamu. Apa saja hasil dari kesuburan bumi dan kerajinan tangan mereka pasti akan dapat dirasai oleh anak cucu yang sesekali pulang begitu juga dengan tetamu yang bertandang ke penginapan mereka. Saya merasakan seperti memperolehi keluarga baru yang amat saya senangi. Mereka begitu terbuka dan mungkin juga keluarga lain dalam masyarakat kerinci.


            Hampir seminggu saya di Kerinci, saya tidak merasakan saya seperti orang luar. Semua rumah anak-anak ibu Nursyatimah saya kunjungi dan menjamu hidangan yang dihidangkan. Masyarakat kerinci dikeseluruhan kabupaten Kerinci yang saya kunjungi sangat mesra tetamu. Adakah itu budaya atau merasa sangat berterima kasih kepada Malaysia?. Saya merasakan kedua-duanya memainkan peranan dalam keterbukaan masyarakat Kerinci kepada orang luar terutama dari Malaysia, Singapura malah Berunai. Kenapa masyarakat Kerinci merasakan sangat berterima kasih kepada negara yang serumpun bangsanya adalah kerana penghijrahan sebilangan besar masyarakat Kerinci ke Malaysia dan hubungan dengan masyarakat Melayu sudah terjalin sekian lama. Orang-orang Kerinci sudah berhijrah ke Malaysia sejak tahun 1900an lagi. Komoditi Kerinci di Malaysia boleh dijejaki di Kampung Kerinci, Kuala Lumpur.

          Mengikut catatan penulis di WWW.naizalnorewan.bolgspot.com, Kampung Kerinci dibuka oleh Hj Abdullah bin Ahmad bersama isteri dan kaum keluarganya dari Desa Tanjung Tanah, Kerinci pada abad ke 19. Kedatangan Hj Abdullah dan kaum keluarga ke Malaysia kerana mencari penghidupan yang lebih baik dan mengubah nasib berikutan kesusahan hidup yang dihadapi dikampung halamannya. Penyebab lain Hj Abdullah dan serta kaum keluarganya datang ke Malaysia kerana ingin mengumpul wang untuk menunaikan fardu haji. Haji Abdullah adalah seorang yang alim dan tinggi ilmu agamanya. Banyak keturunan Kerinci menjadi orang kenamaan di Malaysia antaranya bekas menteri besar Selangor Tan Sri Muhamad Hj Mohd Taib, Mantan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Dato' Seri Rafidah Aziz, Pengarah Kastam malaysia, Pengarah bidang Pendidikan Malaysia dan pelbagai lagi.

           Sejak ratusan tahaun masyarakat Kerinci sudah bermukim di Malaysia, menjadi warganegara, berkahwin dengan masyarakat melayu dan mempunyai harta yang bukan sedikit jumlahnya. Selain Kampung Kerinci, Kampung Abdullah Hukum, kampung sungai Pencala dibuka oleh Warga Pulau Tengah dan banyak lagi. Sebagai menghargai jasa masyarakat Kerinci dalam sama-sama membangunkan Malaysia, Galeri Kerinci yang berlokasi di SMK Sri Pantai. dibanggunkan agar warga kerinci Malaysia tidak lupa akan asal usul mereka. Penghijrahan kaum lelaki Kerinci ke Malaysia buat masa ini bukan sedikit, mengikut temu bual saya dengan orang-orang di bumi Kerinci, hampir 50% dari kaum lelaki berhijrah dan mencari penghidupan di Malaysia dan hasil dari titik peluh mereka dihantar ke Kerinci bagi membangunkan keluarga dan bumi Kerinci itu sendiri. Dilihat kepada pembangunan insfraskrutur samada ada dari keperluan keluarga dan berjemaah (masjid), bukan sedikit ringgit Malaysia yang
                                                                                                                                                                                                        
ditukar kepada rupiah dihantar kepada keluarga mereka (ibu-ibu dan anak-anak) mereka di Kerinci. Hasil wang tersebutlah dibanggunkan rumah-rumah yang saya katogerikan mewah untuk keselesaaan keluarga, membuka kedai-kedai runcit, membeli tanah kebun dan sawah dan paling membangggakan mendirikan masjid-masjid di setiap kariahnya. Hari ini, para ibu, anak-anak dan orang lelaki usia emas adalah penunggu setia bumi Kerinci.

          Selain dari merantau ke Malaysia, ramai juga diantara mereka merantau ke setiap provinsi di Indonesia bagi mencari penghidupan yang lebih baik dan hasilnya tetap dihantar ke bumi mereka untuk membangunkan rumah dan tanah pusaka. Tanah di bumi Kerinci terlalu subur untuk pertanian. Campakkan apa saja biji benih, pasti ia akan tumbuh dan hidup subur. padi, sayur-sayuran dan biji-bijian, tidak perlu dibeli ditempat lain untuk keperluan harian. Sayang, walaupun bumi kerinci mampu mengeluarkan hasil pertanian yang besar tetapi ia tidak memberi pulangan yang besar jika ia hendak ditukarkan dengan wang. Bayangkan harga Tomat (tomato) hanya sekitar rm1.00 sekilo. Kata Yanti, disini senang makan tapi wang susah. Maksudnya untuk mendapat wang yang banyak hasil titik peluh agak sukar. Di pasar tani Pulau Tengah dan Jujun yang diadakan seminggu sekali, segala hasil tani dipasarkan.

           Dirumah ibu Nursyatimah, kawasan kelilingnya dipenuhi tanaman bawang merah dan kucai. Begitu juga dikaki-kaki bukit dan pergunungan tanah Kerinci dipenuhi tanaman sayuran yang pelbagai jenis terutama cabai(lada) dan kentang, Pokok kayu manis yang terdapat di pinggir bukit juga meerupakan sumber pendapatan masyarakat setempat. Manakala tanah datarnya dipenuhi tanaman padi yang menghijau. 'Memang asyik memandang'. Padi-padi yang ditanam dan dituai disimpan di kepuk padi.Beras Kerinci yang berkualiti tinggi dijadikan beras tempatan yang dipatenkan dengan nama beras Kerinci cap Gadieh Kincai. Desa Kemantan Hilir, Kecamatan Air Hangat Timur Kerinci dikhususkan sebagai pengeluar utama beras tersebut. Hampir setiap keluarga mempunyai kepuk padinya sendiri. Ada diantara padi semangatnya yang terletak didasar kepuk berusia hampir 30 tahun.

            Satu petang ketika berbual dengan keluarga ibu Nusyatimah betapa sedapnya makan pulut baru di cicah kelapa parut, esok pagi makanan tersebut sudah terhidang di depan mata. Sekali lagi ucapan terima kasih kepada ibu Nursyatimah yang bersusah payah menyediakan makanan tersebut. Dimasa yang terluang ketika berkumpul dan bersembang dengan ibu Nursyatimah, saya cuba bertanya tentang kebenaran cerita Harimau Kerinci. Ibu Nursyatimah mengakui cerita Harimau Kerinci bukan cerita rekaan. Ianya benar berlaku dalam masyarakat kerinci malah 2 dari cucunya, Irfan anak Azmi dan Eng cucunya yang bekerja sebagai tentera dan bertugas di Jambi mempunyai kaitan atau keturunan dengan harimau. Cerita mengenai hubungan harimau dalam masyarakat Kerinci yang ditulis oleh Hebransyah Usman dan rakan dan boleh diakses diInternet' Retual Mengagah Harimau di Kerinci'.

            Danau Kerinci yang terletak di kaki Gunung Raja dan di tengah-tengah kabupaten Kerinci merupakan sumber perikanan air tawar yang terbesar oleh masyarakat Kerinci. Selain danau Kerinci terdapat juga danau Gunung Tujuh, danau Lingkat, danau belibis dan lain-lain yang lebih kecil juga merupakan kawasan tadahan air. Hasil tadahan itu sebahagian besarnya mengalir ke sungai Batang Hari di Jambi yang menuju laut Cina Selatan. Danau Kerinci telah ditetapkan sebagai kawasan minapolitan perikanan oleh Kementerian Kelautan dan Perikanan Indonesia. Direktur Budidaya Ikan DKP telah menetapkan ikan Semah sebagai produk unggulan nasional yang hidup di dalam Danau Kerinci. Segala jenis ikan air tawar yang disokong oleh pemerintah dari segi pengeluaran benihnya menjadi sumber protin masyarakat Kerinci. Ia juga menjadi pekerjaan sampingan sebagai sumber pendapatan.

Terima kasih kepada bapak Iqbal yang bersusah payah ke danau mendapatkan ikan di awal pagi untuk saya rasai keenakannya. Udang Kara (Lobster) yang menjadi hiasan aquarium di rumah juga menjadi santapan enak di Kerinci. Terdapat juga chalet-chalet didirikan oleh penduduk untuk keperluan pengunjung yang mahu bermalam di danau Kerinci. Pada sebelah petang hari ketibaan saya di bumi di Kerinci, dengan menggunakan sebuah motorsikal, saya dan Azmi meronda hampir separuh bumi Kerinci. Terdapat banyak lokasi yang menarik dibeberapa kecamatan dan kelurahan sekitar Danau Kerinci. Daerah Pesanggarahan di mana kita boleh melihat pemandangan danau Kerinci dari atas. Tanjung Hatta adalah tempat Bung Hatta menikmati panorama Danau Kerinci dan menanam pokok disana. Desa Saleman terdapat rumah Larek. Desa Pulau Tengah terdapat Masjid Keramat dan Batu raja. Batu berukir dan pelbagai lagi yang menarik perhatian pengunjung. Masjid Nurul Iman yang dijadikan Monumen Gempa tidak lagi dijadikan tempat ibadah. Masjid yang terletak di desa koto Iman, kecamatan Danau Kerinci ini termasuk bangunan yang mengalami rosak teruk pada gempa pada tahun 1995. Masjid yang dibina pada 1930 itu retak pada keseluruhan binaannya. (Maklumat mengenai gempa bumi Kerinci boleh diakses dihttp://www.kaltimpost.co.id/? mib=berita.detail&id=40468.

            Pada hari kedua ketibaan saya di bumi kerinci,peluang tidak saya lepaskan dengan lawatan ke Kota Sungai Penuh, Ibu Kota Kerinci yang bermotokan 'SAHALUN SUHAK SALATUN BDEI' berkeluasan 319.50km dan berkepadatan penduduk 82.293 jiwa. Ia juga merupakan pusat pemerintahan kecamatan Hamparan Rawang, Kumun Debai, Pesisir Bukit, Sungai Penuh dan Tanah Kampung. Kota sungai penuh juga merupakan pusat perdagangan bagi daerah sekitarnya. Walaupun tidak di negara sendiri, bangga juga saya melihat perniagaan dan ekonomi disini didominasi oleh masyarakat Kerinci dan minangkabau. Antara pusat perniagaannya seperti Kincai Plaza, pasar Beringin Jaya dan Pasar Tanjung Bajurie merupakan tempat kunjungan masyarakat sekitarnya dalam membuat urusan keperluan harian.

          Pasar beringin Jaya yang menempatkan barangan basah dan kering merupakan pusat perniagaan paling sibuk sepanjang hari. Nak cari apa saja disini semua ada. Barang basah seperti hasil pertanian dibawa dari kawasan pertanian sekitar dan hasil laut pula di bawa dari provinsi Padang. Hasil pertanian pula dibawa dari perladangan tanah tinggi Kayu Aro dan kawasan kecamatan dan kelurahan Sungai Penuh.
Tidak tempat yang boleh dikatakan menarik disini selain dari kesibukan warga sekitar Sungai Penuh berurusan. Restoran makanan moden seperti KFC, Pizza MC Dounald tidak kelihatan (maaf ya warga Sg Penuh kalau saya tak terpandang) jauh sekali restoran Mamak.Saya sempat berkunjung di Masjid Agung yang seni binanya sama seperti masjid Keramat pulau tengah dan dibina pada tahun yang sama. Dengan berjesey Malaysia saya tidak merasa tersisah samada berbasikal atau bermotosikal di bumi Kerinci. Bersambung di bahagian 4. DARI KERINCI KE BUKIT TINGGI, KEMBALI KE KAYU ARO SEJUK SEKALI.